Beg Tangan Jenama Bijan Antara Rampasan Berkait Najib – Nilai Cecah RM1.1 Bilion

Jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion, kata Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Amar Singh berkata, sebanyak 12,000 pelbagai barang kemas ditemui dalam 25 daripada 72 beg yang dirampas polis.

Antara barang kemas itu ialah cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya dengan nilai pasaran kira-kira RM880 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,200 unit adalah cincin, subang 2,800 unit, brooch 1,600 unit, tiara 14 unit.

“Barang paling berharga adalah seutas rantai emas dengan berlian putih berharga RM6.4 juta,” katanya.

Bercakap pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini, sebentar tadi, Amar Singh juga berkata, sebanyak 567 beg tangan membabitkan 37 jenama seperti Hermes, Prada dan Chanel berharga kira-kira RM51.3 juta serta cermin mata hitam sebanyak 230 unit bernilai RM374,000.

Katanya, sebanyak 6 beg mengandungi 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta membabitkan lebih 100 jenama.

Beliau berkata, kesemua barang kemas dan wang kini disimpan di Bank Negara.

Dalam sidang akhbar sebentar tadi, beliau berkata, pada 21 Mei hingga 25 Jun lalu, JSJK sudah buat pengiraan dan pemeriksaan barang dirampas.

“Pengiraan dan pemeriksaan ambil masa lama kerana angka adalah besar.

“Lapan pasukan khas terdiri daripada pakar dan pegawai terbabit dalam pengiraan dan pemeriksaan membabitkan 150 anggota,” katanya.

Selain itu, Amar Singh juga mengesahkan jumlah rampasan wang tunai pelbagai mata wang di enam premis yang diserbu berkaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM116.7 juta.

Beliau juga mengesahkan polis menemui pelbagai dokumen di premis di Putrajaya dan polis masih menyiasat kaitannya dengan skandal 1MDB.

“Kita akan memanggil Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam masa terdekat untuk diambil keterangan,” katanya.

Nama beg tangan mewah berjenama Bijan menceriakan suasana sidang media khas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh pagi Rabu.

“Bagaimana ejaan beg tersebut?” demikian tanya seorang wartawan pada sesi soal jawab.

Amar Singh bagaimanapun mengeja nama beg tangan tersebut sambil tersenyum.

“Sebentar… sebentar. Beg ini tidak ada di pasaran, ia ‘custom made’ dan beg mahal,” katanya.

Mengulas mengenai nilai beg tangan yang dirampas dari enam lokasi penggeledahan yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Amar Singh berkata ia berjumlah sebanyak RM51.3 juta.

“Ia melibatkan sebanyak 567 beg tangan dari lebih 37 jenama. Antaranya adalah jenama Hermes, Prada, Channel dan Bijan,” katanya.

Sumber: mStar Online