“Baru 4 bulan kita bina masjid,” Pengantin Baru Maut Dirempuh Lori, Isteri Luah Rasa Sayu

Penantian seorang isteri dirumah kepulangan suami tersayang disapa dengan khabar duka bila suami yang di dalam perjalanan pulang telah terlibat kemaIangan dan disahkan meninggal dunia.

Memetik dari laporan Harian Metro, dalam kejadian tragis itu dua orang maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan sembilan motosikal di bawah jejambat KM92.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, dekat Sungai Petani semalam.

Mangsa Mohd Amirul Ismail yang menunggang motosikal sedang berteduh di bawah jejambat akibat hujan lebat sebelum dirempuh sebuah lori sehingga tercampak ke dalam longkang berhampiran.

Mohd Amirul Ismail, 28, dari Kampung Seberang Chegar, Anak Bukit atau lebih mesra dengan panggilan Yoon baru 4 bulan melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya.

Arwah Yoon merupakan salah seorang mangsa dari dua orang yang meninggal dunia  dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan ketika berhenti dibawah jejambat semasa hujan lebat petang semalam.

Namun, isteri mangsa dikenali sebagai Fara Haziela meluahkan rasa terkejut menerusi satu posting di laman Facebooknya dengan pemergian suaminya yang berusia 28 tahun itu dan memohon orang ramai untuk sedekahkan al-Fatihah.

“Semoga tenang di sana ya suamiku. seblum awak tingai saya awak dah beli perkakas rumah sesiap … semua awak beli sesiap.
“Ya Allah b, sayang tak kuat b. Mohon sedekahkan al-Fatihah dekat suami saya. Semoga awak tenang di sana,” tulisnya.

“Lepas ni dah tak ada senyum gelak tawa b..”

“Allah lebih sayangkan awak..”


“Tenanglah b dekat sana..”

Dalam pada itu, seorang lagi mansa iaitu Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31, yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Bukit Minyak, Pulau Pinang turut maut dalam kemalangan itu.

Isteri mangsa, Suriyana Abdul Razak, 26, berkata, suaminya juga merancang untuk membeli kelengkapan bayi setelah pulang dari bekerja pada hujung minggu ini.

“Kami bernikah pada Oktober lalu dan usia kandungan saya sekarang sudah masuk lima bulan. Suami memang orang yang paling gembira menanti kelahiran anak kami.

“Dia kerap bercerita tentang perkembangan bayi kepada ibunya (Shukina Sharif, 56),” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurutnya, suaminya itu baru sahaja bekerja sebagai pemandu lori pada awal bulan ini selepas lebih dua tahun bekerja di Langkawi.

“Semalam (Isnin) dia tidak menunjukkan sebarang perubahan tetapi sempat datang ke tempat kerja saya dan kami keluar makan bersama sebelum dia bergerak ke tempat kerjanya di Bukit Minyak.

“Saya langsung tidak tahu mengenai kemalangan terbabit sehinggalah menerima panggilan daripada Balai Polis Alor Janggus memaklumkan suami meninggal dunia dalam kemalangan kira-kira jam 7 petang,” katanya.

Sementara itu, Shukina berkata, Muhammad Khairul Azwan merupakan anak yang manja dan sangat rapat dengannya.

“Dia sangat bertanggungjawab dan menjadi pelindung saya dan isteri selain tidak pernah lupa menghulurkan duit belanja buat saya,” katanya.

Shukina memberitahu, lazimnya Muhammad Khairul Azwan menggunakan kereta api untuk berulang alik ke tempat kerja namun tidak berbuat demikian pada hari kejadian.

“Saya sudah beberapa kali melarangnya menunggang motosikal ke tempat kerja kerana cuaca tidak begitu baik kebelakangan ini.

” Tetapi dia tetap bertegas hendak menunggang motosikal dengan alasan lebih mudah untuk pulang sekiranya berlaku kecemasan di rumah,” katanya.

Shukina menambah, proses bedah siasat masih dilakukan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kubang Siam di sini selepas semua urusan selesai.

Dalam satu perkembangan terbaru, pemandu lori yang berusia 28 tahun yang melanggar mangsa-mangsa tersebut sudah direman tiga hari bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Salam takziah diucapkan, moga si isteri sekeluarga tabah dan kuat. Al-fatihah.

Sumber: Harian Metro, Facebook Fara Haziela