Atlet Ragbi 18 Tahun Asal Kedah Raih Emas SUKMA, Sempat Minta Maaf Pada Ibu Ayah Kerana Tak Cemerlang Akademik

Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20 bagi tahun 2022 kini kembali dengan penyertaan 14 buah negeri di Malaysia dan Brunei Darussalam selaku negara jemputan yang mempertaruhkan kebolehan atlet dalam acara sukan diceburi masing-masing.

Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20 menyaksikan Kuala Lumpur kembali menjadi negeri tuan rumah setelah 14 tahun sejak kali terakhir diadakan di sana.

Salah seorang atlet muda asal Kedah, Aisyahtulfitriah Abdul Mohd. Hasbi, 18, berjaya merangkul pingat emas sulung pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada Khamis, 22 September 2022.

Semangat kesukanan Aisyahtulftriah berhasil apabila pasukan ragbi Kedah berjaya mengalahkan Selangor 17-12 sekaligus merangkul gelaran juara dalam acara tersebut.

Bagaimanapun, ketika ditemu bual oleh wartawan selepas tamat perlawanan, ucapan yang dibuat atas kejayaannya telah mengundang sebak.

Dia akui tidak begitu cemerlang dalam akademik, pencapaian emas itu merupakan kejayaan tertinggi dan paling bermakna yang pernah diraihnya. Lebih mengharukan, kejayaannya itu dia hadiahi buat kedua-dua orang tuanya.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada pasukan saya (Kedah) yang selalu sokong saya dari ‘kosong’ hingga lah berada pada tahap ini.

“Saya juga nak minta maaf kepada ibu dan ayah kerana ini sahaja kejayaan yang mampu saya berikan. Saya boleh banggakan mereka berdua dengan cara ini kerana saya tidak boleh banggakan mereka dengan pelajaran. Untuk sukan saya rasa boleh lakukannya,” katanya dalam nada sebak.

Difahamkan pada awalnya, penglibatan Aisyahtulfitriah di dalam sukan ragbi tidak direstui oleh kedua-dua ibu bapanya. Namun akhirnya kedua-dua orang tuanya bersetuju dan memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi setelah melihat kesungguhannya.

“Ayah saya tak suka saya bermain ragbi kerana kita tahu sukan ini lasak. Tetapi oleh kerana minat, saya teruskan bermain. Ada masanya saya terpaksa mencuri keluar untuk jalani latihan.

“Apa pun, kemenangan ini khas buat ibu dan ayah saya walaupun saya tahu pada mulanya mereka marah dekat saya untuk terus bermain dalam sukan ini,” ujarnya.

Ciapan yang tular di laman Twitter