Ajaran Hadi Minallah Disiasat, Menteri Hal Ehwal Agama Beri Penjelasan Lanjut

Pada masa kini, terdapat banyak kes yang melibatkan ajaran-ajaran agama sesat yang muncul dari semasa ke semasa. Isu ini merupakan suatu isu yang besar kerana mampu memesongkan akidah seseorang dan kebiasaannya ajaran sesat ini bergerak secara sulit dan disebarkan secara bersembunyi.

Kadangkala ‘dalang’ ini berselindung di sebalik niat masing-masing dengan memutarbelitkan fakta-fakta yang benar.

Memetik laporan Kosmo, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mula melakukan siasatan terhadap gerakan sebuah kumpulan ajaran sesat yang tular baru-baru ini dikenali sebagai Hadi Minallah.

Siasatan itu mula dilakukan setelah menerima laporan yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai isu tersebut.

Menerusi kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Idris Ahmad, beliau mengatakan bahawa tindakan itu sudah diambil selepas JAKIM membuat laporan berhubung hal tersebut kepada Kementerian Dalam Negeri.

“Sejurus sahaja dapat maklumat termasuk alamat lengkap, pihak Jawi tidak berlengah kerana memang di bawah pihak berkuasa agama negeri.

“Bagaimanapun, kami tiada maklumat mengenai kewujudan gerakan itu yang berselindung di sebalik nama yayasan dan beralamat di sebuah premis di Kuala Lumpur,” ulas beliau selepas merasmikan Mesyuarat Pertama Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan susulan penguatkuasaan Akta Profesion Guaman Syarie 2019 tadi.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa masyarakat diminta agar segera melaporkan kepada pihak polis jika mengesan sebarang kegiatan abeh kumpulan tertentu yang menggunakan dan mengeksploitasi agama Islam.

“Pihak jabatan agama Islam di setiap negeri juga tidak akan teragak-agak bertindak demi memastikan pegangan akidah umat Islam kekal terpelihara.

“Jakim juga mengharapkan kerjasama masyarakat sekiranya mengetahui ada benda yang pelik dalam kumpulan tertentu, jangan senyap tetapi mesti berani tampil lapor segera,” tambah Idris berhubung isu berkenaan.

Sehubungan dengan itu, JAKIM turut membuat laporan mengenai kegiatan Hadi Minallah yang berhimpun di Langkawi pada Jun lalu kepada Kementerian Dalam Negeri.

Laporan tersebut juga telah diadukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Hal ini dilakukan bagi menyekat video yang tular mengenai kegiatan aneh dan memalukan kumpulan itu dalam acara konvokesyennya.