Ajak Shiro Sumbang Sebahagian Wang Juara MLM 2018 Untuk Ebby Yus, Peminat Puji Mulianya Hati Ajak

“Saya hanya mampu mengharapkan ehsan kawan-kawan saja,” kata pelawak popular, Ebby Yus, 55 dengan nada berseloroh selepas hilang mata pencarian dalam bidang seni akibat menderita pelbagai penyakit yang dihadapinya, lapor BHarian.

Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid mengakui keadaannya kini lemah selepas disahkan doktor mengidap penyakit buah pinggang tahap tiga hampir setahun lalu, malah keadaan penyakit lamanya iaitu jantung semakin lemah.

“Memang saya mempunyai masalah jantung sudah lama dan masih mengambil ubat yang dibekalkan doktor.

“Namun sejak enam bulan yang lalu penyakit lain pula kini datang. Doktor mengesahkan saya mengidap penyakit buah pinggang bocor dan kini sudah peringkat tiga.

“Akibat penyakit itu, jantung saya kini pula semakin lemah dan memang dia bersangkut-paut dengan masalah buang pinggang saya kata doktor.

“Tetapi saya bersyukur kerana ia masih belum di peringkat yang memerlukan saya membuat dialisis, namun doktor kata tiada ubat untuk rawatannya tetapi hanya menasihatkan saya supaya menjaga makanan,” katanya dengan nada sayu dan tersekat-sekat ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau yang pernah dicalonkan sebagai Top 5 kategori Artis Komedi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014, mengakui tiada lagi sumber pendapatan sejak diuji dengan dua penyakit kronik ini.

“Kali terakhir saya menerima tawaran mengacara program Meja Bulat di TV3, itupun dibuat secara rakaman tahun lalu. Pada sesi rakaman itu pun saya sudah tidak sihat, badan lemah, perut dan kaki semakin membesar disebabkan masalah buah pinggang.

“Kini saya tidak mampu bergerak jauh kerana badan terasa lemah dan lebih banyak berehat di rumah. Jika ada tawaran berlakon di luar Kuala Lumpur, saya terpaksa tolak tidak mampu bergerak jauh, tetapi jika ada tawaran rakaman di studio, Insya-Allah saya cuba gagahkan.

“Apa lagi yang boleh saya buat untuk meneruskan hidup, kalau bukan dalam bidang seni. Perniagaan restoran dengan rakan kongsi tidak lagi diteruskan kerana tidak untung, malah saya terpaksa menyerahkan kereta saya kepada orang kerana tidak mampu membayarnya lagi,” katanya yang sesekali tidak mahu mengeluh tetapi mengambilnya sebagai ujian dari Allah.

Sebak dengan berita keadaan terkini Ebby Yus yang sedang menderita akibat komplikasi jantung dan buat pinggang, pelawak Ajak (Shiro) memberitahu dia sedang dalam usaha mengumpulkan dana bagi membantu meringkan beban selebriti senior berkenaan.

Pelawak berumur 33 tahun berasal dari Johor ini berkata, dia juga sudah mengutarakan idea itu kepada rakan-rakan selebriti dan para pelawak yang lain dan rata-rata bermurah hati untuk turut sama menyumbang kepada Ebby Yus.

Dalam pada itu, Ajak atau Mohamad Hanafi Razak, turut memberitahu dia juga akan menyumbangkan sebahagian wang kemenangannya menerusi pertandingan Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) minggu lalu untuk disalurkan kepada Ebby Yus.

Ajak juga terharu apabila rakan-rakan seperjuangan dalam MLM2018 seperti Taman, Zero dan Bocey turut berniat melakukan perkara sama, memberi sumbangan buat Ebby Yus.

Ini komen Ajak:

“Ebby Yus bukan sahaja seorang pelakon dan pelawak berbakat besar malah sudah kami anggap sebagai mentor yang banyak memberi tunjuk ajar kepada kami generasi baru.

“Apabila mendapat tahu tentang keadaannya terus kami terpanggil untuk membantu maka timbul idea untuk mengumpul dana daripada rakan-rakan seperjuangan dalam bidang komedi.

“Kami mungkin tidak ramai tetapi Insya Allah apabila kami bersatu hati ia pasti dipermudahkan,”

Di imbas kembali, Ajak bersama Shahrol (Shiro) telah menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000 berserta trofi.

Dalam perkembangan Ebby Yus, pelakon berumur 55 tahun ini, sudah setahun tidak bekerja akibat jantungnya kembali lemah selain mempunyai masalah buah pinggang.

Ebby Yus pernah dimasukkan ke hospital pada 2017 kerana mengalami lemah jantung.

Sebelum ini, Ebby Yus pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 1998 selain dimasukkan ke hospital sekitar 2015 dan 2017 akibat masalah sama.