Agong Letak Jawatan

Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa hari ini, lapor Malaysiakini.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz melalui kenyataan media Istana Negara hari ini.

Dalam kenyataan itu, turut dinyatakan bahawa baginda berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi kerjasama mentadbir negara dan berharap rakyat Malaysia terus mengekalkan perpaduan.

Berikut merupakan kenyataan penuh Istana Negara:

Bagi menjujung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, dengan ini lstana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuatkuasa 6 Januari 2019 (Ahad) bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras dengan Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Baginda telah memaklumkan perkara ini secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang telah diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-raja.

“Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, Baginda telah berusaha untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara, berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan di kalangan rakyat.

“KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja yang telah memilih Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV bermula 13 Disember 2016.

“Baginda juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kerajaan yang telah memberi kerjasama dalam mentadbir negara. Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, Baginda amat berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang telah dicurahkan kepada Baginda dan negara selama ini.

“Kepada rakyat Malaysia, KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku bertitah supaya rakyat Malaysia terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaufat ini supaya Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni.”