Adi Putra & Johan As’ari Terkilan Dengan Studio Kembara, Syamsul Yusof Tampil Beri Respon

Satu pencapaian luar biasa dalam industri perfileman negara apabila filrm Mat Kilau berjaya meraih kutipan sebanyak RM90 juta selepas 33 hari tayangan. Malah, pengarah filem Mat Kilau Syamsul Yusof atau nama sebenarnya Mohd Syamsul bin Mohd Yusof berbangga kerana karya filem ini boleh mengetepikan filem luar negara termasuk Hollywood.

Terdahulu, tular di platform media sosial berkenaan isu yang melibatkan barisan pelakon filem Mat Kilau iaitu Dato Adi Putra yang memaklumkan tidak akan ke Indonesia untuk mempromosikan filem berkenaan. Manakan tidak, pihak penerbit Studio Kembara didakwa susah dihubungi dan berkomunikasi lalu menyebakan pelakon utama itu berang dan berkongsikan satu coretan di laman Instagramnya.

Manakala, pelakon Johan As’ari atau nama sebenarnya Johan Ariff bin As’ari ini meluahkan rasa terkilan apabila namanya secara tiba-tiba digugurkan dari barisan pelakon-pelakon yang akan hadir ke Malam Gala filem tersebut di Jakarta. Tambahnya lagi, pihak penerbit itu tidak profesional dan alasan mereka tidak relevan.

Memetik laporan Harian Metro, pengarah filem Mat Kilau Syamsul Yusof tampil untuk menjawab berkenaan isu tersebut. Namun, dia mengatakan tidak mahu masuk campur dalam isu pelakon berkenaan kerana dia lebih teruja untuk ke Jakarta.

“Bukan saja Adi Putra, malah saya juga terkejut apabila Johan As’ari tidak ke Indonesia sedangkan hubungannya dengan kakitangan penerbit sangat akrab. Tak tahulah saya.”

“Saya tak nak bergaduh. Kenyataan saya ialah saya pergi Indonesia kerana demi abang Yayan Ruhian. Sebabnya saya amat menghargai kesungguhannya terhadap filem ini.”

“Tengoklah berapa kali dia datang Kuala Lumpur demi Mat Kilau. Dia sendiri yang mesej saya beritahu Indonesia menanti saya. Tolong datang.” katanya.

Difahamkan, tujuan mereka untuk hadir ke Indonesia juga disebabkan oleh permintaan Yayan Ruhain yang memegang watak sebagai Toga. Yayan Ruhain juga merupakan pelakon antarabangsa kelahiran Indonesia. Beliau sememangnya terkenal dengan seni bela dirinya.

Bagaimanapun, Syamsul Yusof berharap akan berlaku kejutan walaupun mempromosikan filem Mat Kilau tanpa pelakon utamanya.

“Bukan mudah sebenarnya nak masuk ke sana. Saya nak guna kesempatan ini dengan berjumpa pengarah dan penerbit di sana.”

“Mereka pun pelik macam mana Mat Kilau boleh meledak sebegini hebat di Malaysia,” tambahnya lagi.