“Ada AURA dan karakter!” Foto Syukur dan Kerbau Sekali Lagi ke Final Antarabangsa CAPA 2019

“Kalau bukan kerana aura dan karakter yang ada pada Syukur, mungkin gambar saya tak terpilih ke pertandingan akhir Anugerah Fotografi Akademi Camarena (CAPA) India 2019,” kata jurugambar, Abdullah Dean Mohd Zain, lapor Kampus UOLs.

Foto penggembala cilik, Muhammad Syukur Khamis, 14, hasil bidikannya itu terpilih bersama sembilan gambar lain oleh jurugambar dari seluruh dunia.

“Setiap bulan mereka akan memilih 10 gambar untuk ke pertandingan akhir. Jadi, gambar ini akan bersaing bersama 120 foto oleh jurugambar dari seluruh dunia,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Walaupun bukan jurugambar profesional, kakitangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Terengganu itu berkata, beliau berharap penyertaan kali ini membuahkan hasil.

“Sebelum ini, empat kali gambar Syukur bersama kerbau berjaya ke pusingan akhir CAPA iaitu pada 2016 dan 2017, tapi belum pernah menang.

“Kali ini dapat ke peringkat akhir untuk 2020 pun satu pencapaian besar bagi saya kerana persaingan begitu sengit. Saya harap gambar Syukur akan terpilih sebagai gambar terbaik,” katanya yang lebih dikenali sebagai Dallah Deen menerusi Instagram dan Facebook.

Abdullah Dean menunjukkan gambar Syukur yang terpilih ke pertandingan akhir menawarkan hadiah 1 lakh rupee India (RM5,748) itu.

Abdullah Dean pernah mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) sebagai jurugambar kembara pada 2017.

Beliau memiliki lebih 100 koleksi gambar Syukur pada sisi yang berbeza sejak ia mula dirakam pada 2015.

Dalam CAPA 2019, gambar Muhammad Syukur sedang berinteraksi bersama kerbau bertanding bagi kategori Kehidupan Harian.

Selain itu, katanya, Muhammad Syukur juga dijadualkan menyertai pameran di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) Art Gallery selama sehari pada 18 Februari sebelum ke Arau, Perlis bagi pameran di pejabat DUN bermula 28 Februari hingga 4 Mac depan.