Bantuan Khas Penjawat Awam 2023, Umum PM Ismail Sabri

Di Malaysia, terdapat pelbagai bantuan yang diberikan kepada masyarakat setempat. Hal ini demikian kerana pihak yang bertanggungjawab berhasrat agar tiada lagi golongan yang akan tercicir.

Memetik laporan Berita Harian, kerajaan telah mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM 700 bagi anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah dan RM 350 bagi pesara dan veteran kerajaan yang tidak berpencen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa pelaksanaan bayaran BKK akan dibuat bermula pada Januari tahun hadapan.

“Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023 dibayar kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM 700 dan RM 350 bagi pesara Kerajaan dan veteran tidak berpencen yang akan diberi pada Januari 2023.

“Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera Kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi Kerajaan,” jelas beliau ketika berucap di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Selain BKK, Ismail Sabri juga telah mengumumkan beberapa lagi faedah lain yang bakal diberikan kepada penjawat-penjawat awam.

Dikatakan, lima faedah lain yang telah diumumkan beliau termasuk dengan kenaikan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan untuk’award’ wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.

“Kerajaan memahami dengan beban tugas yang semakin besar dan mencabar, ramai anggota perkidmatan awam yang tidak menghabiskan cuti rehat tahunan mereka.

“Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai di masa persaraan sekaligus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak,” terangnya.

Bukan itu sahaja, kerajaan juga bakal memperuntukkan faedah tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari yakni menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas menjadi 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat lebih dari 10 tahun.

“Tambahan Cuti Rehat Khas Sebanyak lima hari ini akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500,000 guru bagi urusan-urusan yang mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul GCR yang lebih tinggi,” kata beliau.

Perluasan tafsiran ahli keluarga untuk kemudahan Cuti Tanpa Rekod untuk urusan kematian ahli keluarga terdekat turut diumumkan.

“Jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mertua, bapa kandung dan bapa mertua serta anak sahaja, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam,” jelas Ismail.

Selain daripada itu, penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum telah diumumkan kepada para penjawat awam.

“Kerajaan telah bersetuju menambah baik Kadar Tetap 3 peratus semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari 2022.

“Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan pekeliling berkaitan bagi penjelasan terperinci bagi perkara ini,” terang beliau.