[VIDEO] Pemandu Wanita Nyaris Maut, Konkrit Lebuh Raya Hempap Kereta

Seorang wanita nyaris maut apabila kereta dipandunya dihempap kepingan konkrit pembinaan lebuh raya di Jalan Sungai Besi di sini, hari ini.

Insiden pada 4.30 petang itu tular di media sosial apabila satu video menunjukkan mangsa dibantu keluar daripada kenderaannya oleh orang ramai selepas dihempap konkrit berkenaan.

Video berdurasi 27 saat itu turut menunjukkan konkrit sebesar satu meter persegi yang menghempap bumbung kereta mangsa.

Insiden berkenaan disahkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya.

“Kepingan konkrit pembinaan lebuh raya anggaran satu meter persegi jatuh atas kereta Proton Saga FLX milik mangsa.

“Mangsa cedera di tangan dan (sudah) dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kesesakan teruk di lokasi dan satu lorong terpaksa ditutup bagi kerja mengalihkan kenderaan.

Katanya, kerja pengalihan dan pembukaan semula lorong mengambil masa selama dua jam.

Rata-rata netizen amat marah dengan kejadian tersebut dan mahu pihak bertanggungjawab mengambil tindakan yang sepatutnya.

Malah raai juga yang mahu tindakan saman dikenakan kerana ianya mampu meragut nyawa orang awam yang tidak berdosa.