7 Pekerja Kilang Tekad Makan Racun, Gara-Gara 7 Bulan Gaji Tidak Dibayar

Hak pekerja dan ketidakseimbangan pendapatan merupakan salah satu isu yang serius berlaku di seluruh dunia. Manakan tidak, pekerja-pekerja ini seperti dianiaya dan ‘dipijak’ walaupun bekerja dengan bersungguh-sungguh demi mencari rezeki.

Menerusi laporan The Independent, tujuh orang pekerja kilang di India telah tekad untuk menelan racun disebabkan gaji mereka selama 7 bulan tidak dibayar oleh majikan mereka di Indore, Madhya Pradesh.

Difahamkan, ketujuh-tujuh pekerja kilang pengeluaran alat dapur itu nekad berbuat demikian setelah diberitahu bahawa mereka akan dipindahkan ke kilang lain di bawah syarikat yang sama.

J (bukan nama sebenar), salah seorang daripada pekerja kilang itu menyatakan bahawa syarikat itu sebenarnya mahu membuang pekerja tapi menggunakan dengan cara ‘halus’.

Mereka juga perlu mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan sahaja, dan tidak boleh bertanyakan apa-apa soalan berkaitan kepada pemilik syarikat itu.

Apa yang lebih teruk, apabila mereka pergi bekerja pada hari ini di syarikat lama itu, mereka dimaklumkan bahawa mereka tiada pekerjaan langsung di situ.

“Apabila kami pergi kerja pada hari ini di syarikat lama, mereka berkata tiada kerja untuk kami.

“Kami tahu mereka (syarikat) akan dapat pekerja (lain) dari Delhi dan Mumbai yang ada lebih banyak pengalaman dalam bidang yang sama,” luah kesal J.

Dalam pada itu, jurucakap polis menyatakan bahawa siasatan awal mendapati ketujuh-tujuh pekerja itu tidak menerima gaji yang tetap sejak 7 bulan yang lalu.

Berdasarkan siasatan awal, pada awalnya pekerja-pekerja tersebut telah bersetuju untuk pemindahan tapi akhirnya mereka memakan racun sebagai tanda membantah.

“Pekerja-pekerja tersebut sudah bersetuju dua hari lepas. Tapi lepas tiba di kilang sekitar 11 pagi, mereka menunjukkan bantahan terhadap pemindahan tersebut dan membuat percubaan ‘tamatkan nyawa’ dengan makan racun.

“Mereka telah dibawa ke hospital,” terang jurucakap polis tersebut.

Sementara itu, R pula dikatakan oleh J bahawa R tidak mempedulikan langsung akan nasib pekerjanya yang telah memakan racun itu.

Walau bagaimanapun, R menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan bahawa dia tiada di daerah tersebut pada waktu tragedi itu berlaku.

“Kilang kami menghasilkan wayar dan saya tiada di daerah semasa pengawal keselamatan kilang memaklumkan tentang kejadian pekerja menelan racun itu.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan (sempat) melihat sendiri keadaan kesihatan mereka yang merosot sebelum membawa mereka ke hospital,” kata R.

Tambah R, dia juga tidak tahu menahu mengenai rungutan yang dibuat oleh mereka.

Namun begitu, R sebagai pemilik syarikat menjelaskan bahawa ketujuh-tujuh pekerja kilang itu dikatakan berada dalam ‘kondisi yang tidak baik’ dan sebab itulah mereka dipindahkan ke kilang lain.