“Anak selamat selepas lima jam terapung di lautan,” Bapa & Pesara Tentera Maut Cuba Selamatkan Firas

‘Berpantang maut sebelum ajal,’ demikian nasib seorang budak lelaki yang telah selamat ditemui selepas 5 jam hilang di tengah lautan.

“Allah selamatkan anak saya. Memang satu keajaiban kerana anak ditemui selamat walaupun tidak pandai berenang, namun terapung di tengah lautan lebih lima jam.

“Saya berasa kerdil dengan kuasa Allah SWT kerana anak ditemui selamat tanpa sebarang kecederaan,” kata, Nik Nor Asyikin Nik Abdullah Sani, 36, ketika ditemui di Hospital Tengku Anis, di Pasir Puteh, hari ini.

Menerusi laporan Harian Metro, Nik Nor Asyikin iaitu ibu kepada Muhammad Aman Firas Aman Syah, 12, yang ditemui selamat pada jam 11 malam dalam jarak 300 meter selepas lebih lima jam terapung di laut di Pantai Kandis Pulau Kambing, malam tadi.

Menurutnya, anak sulung daripada dua beradik itu kini mendapatkan rawatan di wad lelaki Hospital Tengku Anis.

Alami masalah pembelajaran

Katanya, anaknya mengalami masalah pembelajaran dan sangat suka kepada air serta sering mandi kolam angin di rumahnya.

“Anak saya pantang tengok air, namun pada musim ini saya tidak membawa anak mandi pantai kerana bimbang dengan keadaan ombak yang besar dan merbahaya.

“Namun, semalam saya berada di rumah ayah di Beris Lalang kerana ada kenduri perkahwinan anak saudara, manakala anak tinggal di rumah bersama ayahnya,” katanya.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian selepas suami, Aman Syah Musa, 38, menghubungi memaklumkan anak lemas di pantai sebelum dia bergegas ke lokasi.

Nik Nor Asyikin berkata, tidak dapat digambarkan perasaan selepas mengetahui anak hilang dan dia hanya mampu berdoa serta melakukan solat hajat supaya anaknya ditemui dalam apa jua keadaan.

Katanya, dia juga membawa kain batik lepas ke lokasi kejadian untuk menutup jasad anaknya jika ditemui lemas.

“Namun, saya bersyukur kerana anak ditemui selamat, tetapi sedih kerana jiran, Mohd Bahudin Mat Shah, 46, dan seorang lagi lelaki, Juhairohafizan Juhari, 35, yang mahu membantu menyelamatkan anak ditemui lemas.

“Saya turut memaklumkan kepada anak bahawa jiran kami yang juga ayah rakannya lemas. Anak juga tahu seorang lagi lelaki yang tidak dikenali cuba membantunya turut lemas. Dia nampak sedih apabila mengetahui kejadian yang berlaku.

Bagai berada di kayangan

“Ketika terapung di permukaan air, anak memberitahu dia bagai berada di kayangan dan turut melihat cahaya lampu yang terang.

“Anak juga kata hanya hidungnya berasa pedih kemungkinan dimasuki air laut dan hanya teringat ibu (saya) dan ayahnya saja,” katanya yang berterima kasih kepada semua yang berusaha mencari dan menyelamat anaknya.

Menurutnya, anaknya itu sangat rapat dengan Allahyarham Mohd Bahudin yang sering membawanya keluar berjalan-jalan memandangkan jirannya itu turut mempunyai anak yang mengalami masalah pembelajaran.

Bapa dan seorang lelaki lemas

Media sebelum ini melaporkan, dua lelaki ditemui lemas termasuk seorang bapa yang nekad terjun untuk menyelamatkan anak lelakinya daripada hanyut dibawa ombak ketika perkelahan keluarga di Pulau Kambing, Pantai Kandis pada Ahad.

Dalam kejadian pada jam 6.50 petang itu, anak- kanak terbabit, Muhammad Aman Firas Aman Syah, 12, berjaya naik ke darat selepas berpaut pada pelampung gabus.

Mangsa lemas ialah pemandu lori, Mohd Sahudin Mat Shah, 46, dikatakan cuba menyelamatkan anaknya itu manakala seorang lagi mangsa ialah pesara tentera, Juhairohafizan Juhari, 35, yang cuba menyelamatkan dua beranak tersebut.