[VIDEO] Pakai Tudung Guna Kaki, Wanita OKU Ini Cetus Inspirasi Warganet

Beberapa hari lepas telah tular satu video seorang wanita yang membuat demo cara beliau memakai tudung menggunakan kaki.

Puan Norfarrah Syahirah bt Shaari yang juga merupakan Ikon Inspirasi GPMS Daerah Bagan Datoh itu dilihat dengan mudah menunjukkan cara-cara memakai tudung menggunakan kedua-dua belah kaki kerana tidak mempunyai tangan.

https://www.facebook.com/JengkaToday/videos/453637661920557/

 

Video yang tular tersebut sebenarnya telah diambil daripada laman Facebook Tcher Collection TC yang dimuat naik oleh Noraznira Ismail.

Beliau berkongsi mengenai aktiviti Pengisian Slot Inspirasi Program Pasca PT3 2019 Anjuran Panitia ASK sekolah SMK TIWA.

Puan Syahirah merupakan Ikon Inspirasi  Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang bertugas sebagai salah seorang Staf di Kolej Komuniti Teluk Intan, Perak.

Kekurangan fizikalnya yang tidak mempunyai kedua-dua belah tangan ini langsung tidak menghalang dia mempunyai kerjaya sendiri serta memandu kenderaan tanpa pertolongan sesiapa.

Justeru itu, pihak sekolah SMK Toh Indera Wangsa Ahmad, Batu Gajah telah menjemput wanita hebat itu untuk menyampaikan sedikit perkongsian buat pelajar-pelajar pasca PT3 ini.


Puan Syahirah berkongsi cara kehidupan sehariannya sebagai salah satu motivasi yang diberikan kepada para pelajar supaya mereka tidak putus asa dalam menjalani kehidupan akan datang.

Rata-rata netizen terkesan dan kagum dengan ketabahan dan kecekalan Puan Syahirah.