Kaut Jualan RM10 Juta Sehari, Dr Idzu Baharin Luah Rasa Sebak & Terharu

Vokalis kumpulan nasyid Saujana, Khairul Baharin atau lebih dikenali sebagai Idzu ini bukan sahaja berbakat dalam bidang nyanyian malah dia juga merupakan seorang usahawan dan pengasas syarikat Call Tissue Sdn Bhd yang mana ia adalah Syarikat Kejuruteraan Tisu pertama di Malaysia.

Bahkan sudah tercatat dalam Malaysia Book of Record kerana menghasilkan produk berasaskan sel dan tisu manusia.

Iospital phone repair gombak

Baru-baru ini, penyanyi yang berusia 41 tahun ini telah meluahkan rasa sebak dan terharu apabila tidak menyangka jualan program Alpa Celle, Life Anew berjaya mencatat RM10 juta dalam masa sehari.

Memetik sumber, Dr Idzu menjelaskan program tersebut merupakan program kesihatan yang memberi banyak kebaikan dan faedah kepada orang ramai dari segi pemeriksaan, penjagaan serta kawalan hingga rawatan.

“Sejujurnya, tak menjangka boleh dapat RM10 juta sehari. Acara yang dibuat pada 16 Oktober lalu itu hanya pra pelancaran. Itu pun tiket habis terjual dan disebabkan permintaan ramai saya terpaksa buat di tempat yang lebih besar. Ketika pelancaran itu, tidak menjangka juga lebih 100 pengunjung yang mendaftar untuk mengikuti program Alpha Cell, Life Anew. Ia membuatkan saya sebak dan betul-betul tak menjangka…”

“Ia memang sambutan luar biasa. Pada mulanya memang nak buat pengenalan saja. Tapi apabila ada yang mendaftar, maksudnya masih ramai yang mementingkan kesihatan sebelum sakit. Mereka ada kesedaran awal. Ia membuatkan saya gembira sebab ramai nak bertindak awal sebelum sakit..” katanya.


Menurut Dr Idzu lagi, projek berkenaan itu juga bakal merangkumi semua aspek kesihatan untuk mencegah perkara yang tidak diingini.

“Minta maaf cakap, dalam negara kita ramai yang bila dah sakit baru nak dapatkan rawatan. Buat pemeriksaan sangat jarang. Jadi, menerusi program ini kita sediakan semua…”

“Jangan menyerah kalah, sebab kita ada teknologi untuk mencegah sebelum terjadi. Pakej ditawarkan juga murah dan dapat banyak manfaat. Kita menyediakan pusat kesihatan dan pakar untuk menjalankan program ini…” ujarnya lagi.

Dalam pada masa yang sama, pelantun lagu ‘Ku Serah’ ini memaklumkan dalam waktu terdekat dia bakal membuat pelancaran secara rasmi dan besar-besaran tentang program tersebut selain turut menetapkan sasaran 2,000 pendaftaran tahun depan.

“Bila dah ada sambutan luar biasa, saya lebih bersemangat nak melancarkan secara besar-besaran. Insya-Allah, dalam masa terdekat. Dengan tawaran, manfaat dan lebih lagi. Kita juga merancang untuk mengadakan siri jelajah di seluruh negeri. Kalau boleh nak lebih ramai terbabit dalam program ini untuk sama-sama menjaga kesihatan…”

“Kalau nak tahu, selepas pandemik Covid-19 ramai jatuh sakit. Sebab ketika itu duduk rumah saja, makan, dan tidak aktif. Jadi, itu semua beri memberikan kesan pada kesihatan. Mungkin sekarang tak rasa, akan datang tak tahu macam mana. Ketika itu mungkin sudah terlambat…”

“Kita menyasarkan untuk membantu 2000 orang dengan mendaftar program ini pada 2023, sekali gus menjadikan rakyat Malaysia bebas penyakit, hidup lebih sihat dan lebih lama…” jelasnya lagi.