Akui Diuji Dengan Duit, Linda Rafar Dedah Terima Tawaran Tinggi Untuk Buka Tudung

Kalau sebelum ini kita dengar mengenai isu selebriti yang mengambil keputusan untuk tidak lagi memakai hijab namun ada juga pihak yang meminta artis-artis tanah air untuk menanggalkan tudung atas urusan kerja yang ditawarkan.

Pun begitu, sama juga ceritanya dengan seorang penyanyi bekas kumpulan terkenal Elite, Linda Rafar dimana dia telah mendedahkan masih menerima pelbagai tawaran berlakon dan mempromosikan produk yang memerlukan dirinya untuk membuka tudung.

Menurut sumber, Linda Rafar atau nama sebenarnya Azlinda Binti Rafar ini menjelaskan apa yang menguji dirinya ialah apabila bayaran yang bakal diterimanya untuk tawaran tersebut cukup lumayan. Malah kerana tidak mahu dituduh mempermainkan tuntutan agama, penyanyi ini memutuskan untuk menolak.

“Banyak sebenarnya. Ada yang menawarkan watak tidak berhijab dengan bayaran tinggi, malah jenama antarabangsa juga memerlukan khidmat saya untuk mempromosikan produk mereka dengan syarat kena buka tudung…”

“Saya pernah diminta penggiat industri supaya membuka tudung untuk menaikkan semula nama kerana mereka yakin lebih banyak tawaran akan diterima…”

“Saya anggap ia sebagai ujian yang perlu dihadapi wanita berhijab yang berkecimpung dalam industri hiburan,” katanya.

Menurut Linda, bayaran yang lumayan itu mampu membuatkan sesiapa sahaja gelap mata dan rela untuk menerima tawaran yang tidak masuk akawalaupun terpaksa melakukan hal yang tidak sepatutnya demi ‘duit’.

“Memang sukar dan ada kalanya hampir membuatkan kita terpengaruh serta terfikir untuk melakukannya kerana ramai pelakon yang menerima tawaran bertali arus selepas menanggalkan hijab..Saya cuba kuatkan semangat dan istiqamah walaupun ia bukan mudah untuk dilakukan. Mungkin itu ujian Allah untuk melihat sejauh mana kekuatan iman saya…”

“Syurga bukan percuma. Kalau saya pilih jalan sebaliknya, maka sia-sia segala usaha saya ke arah syurga Allah..Jadi, saya sentiasa berdoa dan meminta kepada Allah agar ditetapkan pada jalan yang telah saya pilih ini. Saya minta dilindungi daripada terpesong dan terpengaruh dengan godaan dunia,” tambahnya lagi.

Tidak dinafikan, seorang wanita dengan penampilan berhijab akan merasai situasi dimana mahu mengejar dunia dengan memiliki banyak duit. Namun bagi Linda, sokongan yang diberikan oleh keluarga tercinta sangat diperlukan olehnya untuk kekal kuat dan istiqamah.

“Saya sentiasa pastikan diri mendekati alim ulama seperti Ustaz Wadi Anuar dan Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani. Mereka mengingatkan saya agar lepaskan dunia dan terus kejar akhirat…Keluarga pula mewujudkan kumpulan WhatsApp bagi membolehkan kami berkongsi tentang ilmu agama. Ia sangat membantu untuk mengingatkan dan memberi kesedaran kerana kita manusia biasa, tidak lepas daripada berbuat dosa…”

“Paling penting, selalu berdoa dan meminta kepada Allah agar dilindungi dan dielakkan daripada terpesong ke jalan yang salah. Kita tidak boleh sekadar bercakap, sebaliknya perlu meminta supaya urusan kita dipermudahkan Allah SWT,” ujarnya.