Rasa Terhina Di Negeri Kelahiran Sendiri, Pemuda Nekad Ubah Nasib Berhijrah Ke Kota

Istilah merantau ke negeri lain ini mnerupakan suatu norma yang diamalkan oleh masyarakat terutamanya dalam golongan anak muda. Kebiasaannya, mereka merantau untuk mencari lebih banyak pengalaman dan mendapatkan peluang mencari sumber rezeki yang lebih banyak.

Namun begitu, lain pula dengan kisah seorang pemuda yang mempunyai kisahnya yang tersendiri mengenai alasannya berhijrah ke Selangor dan seboleh-bolehnya enggan kembali semula ke negeri asalnya itu.

Mohd Faisal, seorang pemuda yang berdarah kacukan India, menceritakan kisahnya dalam laman sosial Facebook yang tular baru-baru ini.

Faisal menyatakan bahawa ibunya berketurunan Pakistan asal Kelantan, manakala bapanya pula seorang lelaki India dari Singapura yang berpindah ke negeri tersebut.

Berdasarkan hantaran yang dibuat, Faisal menjelaskan bahawa budaya dan persekitaran negeri di Kelantan menjadi faktor utama untuk dia berhijrah dan kini menjadi warga Shah Alam.

“Saya terpaksa tinggalkan Kelantan kerana saya tidak boleh hidup dengan budaya dan persekitaran begitu. Saya mahukan satu kehidupan yang lebih baik untuk diri dan anak-anak.

“Budaya dan persekitaran apa yang saya maksudkan? Di Kelantan budaya menggelar (gelaran mengejek) agak kuat. Saya sering dipanggil anak ke****, anak India, dan macam-macam lagi.

“Baik di kawasan tempat tinggal atau di sekolah. Ada ketika saya malas pergi sekolah. Saya dibuli teruk. Saya tiga beradik masa itu. Fazira dan arwah Faziani pun ada juga orang menggelar kepada mereka.

“Tetapi disebabkan mereka perempuan, mudah menangis dan orang tidak berani lebih-lebih. Saya pula melawan. Pernah saya dipukul berkumpulan kerana saya melawan orang yang menggelar kepada saya.” terang Faisal mengimbau masa silamnya.

Menerusi kenyataan Faisal, guru-guru di sekolah juga didapati membiarkan sahaja perlakuan buli itu sehingga akhirnya memberikan kesan terhadap mentalnya.

Faisal bukan sahaja tertekan dengan gangguan buli oleh pelajar lain di sekolahnya, malah kesempitan hidup keluarga pada ketika itu turut memberi tekanan kepadanya.

“Bapa saya pula jenis bapa yang suka ke sekolah. Beliau suka bertanya cikgu tentang perangai saya di sekolah. Setiap kali bapa saya ke sekolah, selepas beliau pulang, seminggu saya akan alami tekanan di sekolah kerana orang menggelar semakin kuat kepada saya.

“Cikgu pula pada waktu itu tidak menyebelahi kita. Seolah-olah membiarkan. Ada masa cikgu pula tukang menambah perisa. Membuatkan murid-murid lain semakin galak. Saya betul-betul rasa terhina waktu itu.

“Saya juga anak orang miskin. Seluar sekolah saya bertampal-tampal. Kasut sekolah saya bvruk. Pernah sekali saya tidak mampu untuk beli kasut sekolah, ada kasut kain warna hijau orang berikan. Saya rendam peluntur bagi tanggal warna hijau.

“Kemudian saya sapu kapur supaya putih. Bayang-bayang warna hijau tetap nampak sikit-sikit. Ada pula pelajar mengadu kepada cikgu. Saya kena tindakan disiplin. Cikgu tidak tanya apa masalah kita,” imbas Mohd Faisal.

Akhirnya pada tahun 1996, dia telah pun berkahwin dan memilih untuk berhijrah ke Lembah Klang kerana tidak mahu lagi menerima layanan yang sama oleh penduduk di sana.

Walaupun ada sebahagian keluarganya meminta untuk dia kembali tinggal di Kelantan, Faisal tegas dengan pendiriannya bahawa dia tidak akan tinggal di negeri tersebut kembali demi masa depan anaknya akan datang.


“Saya rancang perkara ini 20 tahun lepas. Saya mahu merancang masa depan yang lebih baik untuk anak-anak. Mereka semua dilahirkan di Hospital Klang, sekolah di Shah Alam. Membesar di sini.

“Saya mahu anak-anak saya berkawan dan bergaul dengan semua orang tidak kira Melayu, India, Cina, Kadazan, Dusun dan lain-lain dan hendaklah menghormati mereka semua,” terang Faisal dengan lebih lanjut.

Mohd Faisal turut meluahkan rasa gembira dan bersyukur dengan keputusan yang telah dibuatnya itu, kerana keadaan anaknya dilihat lebih baik di negeri Selangor itu.

“Saya mahu anak-anak hidup dalam persekitaran yang lebih sihat dan baik. Cukuplah, fobia saya di zaman dulu terbawa-bawa sampai ke hari ini. Tindakan saya untuk keluar dari Kelantan, dan kekal di Shah Alam ianya memberi kehidupan yang lebih berkualiti kepada saya dan anak-anak saya.

“Keadaaan di Kelantan sekarang semakin berubah. Budaya yang dulu semakin ditinggalkan. Sekarang ramai orang yang berilmu. Sistem pendidikan juga semakin baik.

“Cuma fobia yang saya alami dulu telah tertanam dalam diri dan sukar untuk dihakis. Membuatkan saya merasa perit,” jelas Faisal.

Terang Faisal lagi, setiap kenangan yang dilaluinya itu masih terpahat di ingatan dan menjadikan pengalaman itu sebagai pembakar semangat buat dirinya.

“Sampai hari ini saya masih boleh nampak dalam fikiran dengan jelas wajah-wajah orang yang suka menggelar dan membuli saya dulu.

“Daripada sudut positif pula, sebenarnya apa yang terjadi ini membuatkan saya kuat, bersemangat dan membuatkan saya tercabar untuk jadi lebih baik. Boleh pujuk hati untuk berkata begitu, tapi hakikatnya, tetap tidak boleh lupa juga.

“Saya menulis ini berdasarkan pengalaman peribadi apa yang saya alami dan kenapa saya berhijrah. Setiap orang berbeza pengalaman dan pendapat. Jika ada tersilap kata, tersalah sebut, mohon maafkan saya,” ulas Mohd Faisal mengenai pengalaman yang dilaluinya sepanjang menetap di negeri serambi Makkah itu.

Meninjau di ruangan komen, warganet bersetuju dan tumpang simpati dengan keadaan yang telah menimpa Mohd Faisal suatu ketika dahulu.

Antara komen netizen:

“Ibu bapa kena latih dan didik anak anak masa mereka kecil supaya berpemikiran terbuka. Bersikap sama rata dan adil. Ajar mereka menerima perbezaan dan memahami kuasa ALLAH menjadikan perbezaan.”

“Betul tu Abe…budaya menggelar nie meme blh buat kita jd pendendam dan sapo jadi mangsa akan ingat smpai bila2…tambah plak kita org miskin macam makin menjadi2 org hina”