Bawa Anak Masuk Hutan Sejak Umur 4 Bulan, Tak Ada Masalah Hiking Walau Menyusu Badan

Hiking sambil membawa anak kecil bukanlah satu perkara yang mudah apatah lagi bila aktiviti lasak ini memerlukan kita untuk memanjat dan meredahi hutan berliku.

Namun ianya tidak menjadi masalah kepada wanita ini yang bukan sahaja hiking malah sempat menyusu anak kecil di dalam hutan mencuri perhatian ramai.

“Bila gadis hutan dah jadi mak. Angkut anak masuk hutan sekali,” ujarnya di sebuah video.

Memetik laporan mStar, Adilah Suhailin Kamaruzaman mengakui dirinya sering membawa masuk anak lelaki yang berusia setahun dan empat bulan ke dalam hutan.

Wanita ini yang juga berusia 29 tahun telah dilatih oleh bapanya untuk masuk ke hutan sejak kecil selain sebelum ini melakukan kajian mengenai hidupan liar ketika mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Zoologi di Universiti Sains Malaysia (USM).

“Saya mula bawa anak masuk hutan buat jungle trekking sejak usianya empat bulan. Sekarang ni setiap bulan wajib masuk hutan bersama anak.”


“Masa mula-mula tu saya bawa dia masuk kejap je. Dari 30 minit ke 45 minit, selepas tu sejam dan sekarang paling lama sampai dua jam kami dalam hutan,” katanya

Lebih dikenali sebagai Sue Kz, dia bagaimanapun mempunyai alasan setiap kali membawa anaknya masuk ke hutan yang turut disertai suaminya.

“Sejak ada anak, saya nak dedahkan dia kepada alam semula jadi dan kurangkan skrin (penggunaan gajet) dengan membawanya keluar dari rumah.”

“Saya bukanlah kaki hiking tapi adalah conservationist (pemulihara) alam. Saya biasakan pendedahan anak dengan hutan supaya dia cintakan alam semula jadi, dan jadi tahan lasak,” ujarnya yang berasal dari Besut, Terengganu.

Dia juga pernah membawa anaknya ke perkampungan Orang Asli dekat Tasik Chini, Pahang dan bermalam selama dua hari ketka menjadi sukarelawan bagi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk program anak-anak Orang Asli.

“Kami bukan masuk hutan bertiga bersama suami, tapi akan pastikan kami dah biasa dengan hutan tu terlebih dahulu dari segi tahap keselamatan dan risiko bahaya.”

“Paling penting kawasan hutan yang child friendly (mesra kanak-kanak). Maksudnya tiada binatang buas dan tiada kecuraman yang membahayakan di sepanjang laluan,” tambahnya.

Pastinya, wanita ini ditegur oleh netizen tentang bahanya makhluk halus namun Sue berpendapat dirinya lebih takut kepada pengaruh media sosial yang tidak baik.

“Setiap kali masuk hutan, kami akan baca doa untuk pelindung diri. Secara peribadi, saya sebenarnya tak takut hantu dalam hutan, dan rasa pendedahan gajet lebih bahaya.”



“Dalam tak sedar, kesan (gajet) membuatkan anak-anak mudah berdamping dengan ‘hantu’ yang kini menjadi trend seperti Huggy Wuggy, Mommy Long Legs dan Siren Head, sehingga anak-anak memuja ‘hantu-hantu’ ini. Benda-benda ini yang lebih merosakkan anak-anak,” tambahnya.

Sue Kz turut bersyukur kerana anaknya tidak meragam setiap kali mereka masuk ke hutan sekali gus memudahkannya untuk menyusu.

“Anak tak menangis bila masuk hutan. Setiap kali kami berehat, anak yang dah boleh berjalan boleh main daun dan kenal spesies tumbuhan lain.”

“Sebenarnya anak lebih mudah menangis apabila masuk shopping mall, mungkin kerana ramai orang… macam di kenduri dia mudah menangis sebab tak selesa” katanya.

Video yang tular di laman TikTok:

@suekz.ecowildernessmom Siapa outdoor mama yg breastfeed anak? #fyp #breastfeeding #hiker #hikermalaysia #hikingmama #motherhoodlife #parentingtips ♬ Clap Snap – Nanay Mitchay ❤️