[VIDEO] Syafinaz Kongsi Latihan Nabila Razali, Jauh Lagi Sedap Dari Pentas AJL

Sejak kebelakangan ini, nama penyanyi Nabila Razali menjadi bualan ramai apabila persembahan lagu Peluang Kedua di pentas Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) dikatakan tidak memuaskan.

Malah, ramai netizen mengkritik kemampuan dan kredibiliti penyanyi itu dan ada juga segelintir rakan artis yang terus memberi kata sokongan kepada Nabila Razali.

Terbaru, guru vokal kepada penyanyi Peluang Kedua iaitu Datuk Syafinaz Selamat menerusi laman Instagram tampil memberi respon terhadap isu ini.

Datuk Syafinaz selaku guru vokal kepada Nabila Razali memuji usaha dan kerja kuat penyanyi itu yang berhasrat untuk belajar vokal sejak Mei tahun lalu.

Tidak dinafikan, sepanjang proses pembelajaran tersebut terdapat beberapa halangan yang terpaksa dilalui antaranya adalah masalah kesihatan Nabila, kesibukan kerja dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya sentiasa terbuka dan menyokong mana-mana penyanyi yang ingin memperbaiki nyanyian mereka.

“Ramai artis-artis baru dan juga nama-nama besar yang menyatakan hasrat malah sudi belajar dengan saya. I’m happy to share this little knowledge that I have.

“Setiap yang kita lakukan adalah satu seni yang memerlukan skill. Memasak, menjahit, menari, menyanyi, bersukan, waima bertutur sekalipun.

“Saya percaya kesungguhan dan dedikasi boleh mengatasi kelemahan. Pembelajaran yang konsiten adalah kunci kejayaan.

“Nabila menyuarakan hasrat untuk memperbaiki nyanyiannya Mei tahun lalu. Namun halangan kesihatannya, jadual kerja kami yang padat dan situasi PKP menyebabkan proses pembelajarannya agak mencabar.

“Kelas intensif hanya dapat dilakukan sebaik PKP 2.0 berakhir.”

Bukan itu sahaja, Datuk Syafinaz turut berkongsi satu video nyanyian Nabila sewaktu sesi latihan dijalankan.

Guru vokal ini mengakui video tersebut adalah bukan nyanyian terbaiknya tetapi ada lagi nyanyian yang lebih baik dari itu.

Tidak dinafikan, rata-rata netizen melihat kesalahan yang dilakukan Nabila sewaktu ‘terkucil’ dalam menyampaikan lagu tersebut.

Namun guru vokal ini pula melihat dari aspek yang berlainan iaitu kualiti tonal dan perkembangan musicality.

“Video amatur ini dirakamkan pada awal Mac. Bukanlah nyanyiannya yang terbaik tapi ia satu-satunya yang saya ada (sebab kebiasaannya dia yang rajin merakam semasa sesi latihan).

“It’s far from perfect tapi lebih baik daripada apa yang dia lakukan di atas pentas AJL.

“Umum hanya melihat kejadian ‘terkucil’ manakala saya pula melihat dari aspek kualiti tonal dan perkembangan ‘musicality’-nya.

“Selain tekanan akibat dari ekspektasi, seorang penyanyi juga perlu ‘battle his/her inner demons’ apabila berada di atas pentas mega itu.”

Datuk Syafinaz turut memberi pesanan dan kata semangat buat Nabila Razali untuk tidak mudah berputus asa.

“Anggaplah ini langkah dia bertatih sebagai seorang penyanyi. Dia sedar jauh lagi perjalanannya sebelum dia boleh berlari.

“Jangan patahkan semangat perjuangannya. This is Nabila’s journey.”

Video latihan Nabila Razali sebelum AJL35