Setia Temani Rakan Berkerusi Roda di Padang, Murid Darjah 6 Ini Buat Guru Sebak

Satu perkongsian di Facebook telah menjadi tumpuan netizen apabila seorang guru memuat naik foto murid tahun 6 yang setia menemani rakannya berkerusi roda.

Menerusi perkongsian Puan Mawaddah MN, riak wajah muridnya yang berkerusi roda itu menjadi riang apabila dibawa ke padang oleh kawan baiknya itu.

Murid berkenaan masih mampu untuk tersenyum melihat rakan-rakan yang lain bermain di padang.

Ternyata kesetiaan rakannya untuk menemaninya itu membuatkan Puan Mawaddah sebak dan kagum dengan persahabatan mereka.

Berikut adalah perkongsian Puan Mawaddah.

__________

Sayup-sayup di hujung padang kelihatan seorang anak murid saya yang berkerusi roda disorong ke padang oleh seorang rakannya yang selalu setia bersamanya.

Ceria sungguh wajahnya apabila disorong ke padang. Matanya seakan bercahaya. Seronok! Maklumlah, dari tadi dia hanya memerhati dari luar padang sahaja.

Di padang, suara keriuhan murid-murid lain menyertai acara sukantara amat mengujakan sesiapa sahaja sebenarnya untuk bersama. Murid seusianya pasti tidak sabar-sabar untuk ke padang. Namun, apakan daya dengan kekurangan yang ada pada dirinya menyebabkan dia akur. Pasrah!

Rakan-rakan seusia dengannya dapat berlari, melompat dan berkejaran di padang, dia sekadar melemparkan senyuman tawar. Saya yang mengamati dirinya dari tadi, sesekali melihatnya ketawa melihat gelagat rakan-rakannya di padang.

Begitulah tafsiran kegembiraan bagi setiap insan itu berbeza. Bagi murid ini, dapat melihat kegembiraan orang lain pun sudah amat menggembirakan hatinya. Syahdu rasanya melihat situasi itu. Ustazah doakan dirinya akan diberikan kegembiraan selalu.

Dan, mujurlah ada teman yang sentiasa setia bersama. Tidaklah dia kesunyian. Untunglah dirinya apabila dikurniakan rakan yang baik dan setia.

Saya bertugas sebagai hakim acara lompat tinggi. Saat mereka melewati kawasan acara ini, saya melambai mereka.

“Mai, sat. Ustazah nak ambil gambar ni.”

Mereka pun menghampiri.

“Senyummm…”

Lalu tersenyum simpullah kedua-duanya. Gembira apabila dia juga dapat bergambar di padang biarpun tidak berupaya menyertai sukantara itu.

Setelah itu, rakannya memakir kerusi roda itu berhadapan dengan lokasi acara lompat tinggi. Tanpa berfikir panjang, bersilalah rakannya itu di sebelah kerusi roda itu.

Baca: “Jauh di sudut hati untuk melihatnya tersenyum seperti dulu” Suami Muda Setia Jaga Isteri Terlantar

Sedikit pun tidak terniat di hatinya untuk meninggalkan rakannya itu terkontang-kanting di padang. Dia betul-betul ikhlas dan setia. Kasihnya kepada sahabatnya itu, tiada sempadan.

Masya Allah.

Ustazah pula yang sebak.

Semoga persahabat kalian terus terjalin erat. Ingatlah, bukan semua orang mampu setia bersahabat. Tetapi persahabatan kalian mampu menjadi contoh teladan kepada yang lain.

Beruntunglah kamu! Semoga kekal bersahabat hingga ke Syurga.