“Saya belajar hidup ini kena sentiasa positif dan reda apa yang ditakdirkan untuk kita” Suami Isteri Bahagia Dapat Kembar 4 Istimewa Selepas 7 Tahun Menunggu

Mana-mana pasangan yang sudah berkahwin pasti mahukan cahaya mata. Namun tak semua pasangan berhadapan dengan situasi mudah.

Iospital phone repair gombak

Ada yang harus menunggu beberapa lama tahunnya untuk mendapat cahaya mata. Seperti yang kita tahu, kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan segala perjalanan hidup kita.

Persis kisah yang dikongsikan oleh suami isteri ini apabila penantian mereka akhirnya beroleh kemanisan.

Menurut Norhayu Mat Hanafi, rumah tangga yang dibina sejak 2003 sangat sunyi tanpa anak selama enam tahun sebelum disahkan hamil.

Malah, yang lebih indah, dia bukan sahaja dikurniakan seorang anak, tetapi anak perempuan kembar empat!

Mesra disapa Ayu, katanya, hanya tuhan sahaja yang tahu perasaannya apabila menerima perkhabaran yang amat menggembirakan itu.

“Saya dan suami cuba pelbagai cara termasuk melakukan pemeriksaan kesihatan. Pernah terfikir, ingat selepas lima tahun kalau tak ada rezeki, kami bercadang nak ambil anak angkat.

“Syukur Alhamdulillah akhirnya dapat juga anak. Memang seronok dan tak sangka sebab sentiasa menunggu, kembar empat pula tu,” katanya.

Pun begitu, mereka sekali lagi diuji apabila keempat-empat puteri kembar berkenaan mengalami kurang upaya intelektual seperti masalah pertuturan, pembelajaran dan hiperaktif ketika usia mereka lima tahun.

“Cikgu mereka yang mula-mula dapat kesan keadaan anak-anak saya. Kami bawa pergi jumpa doktor dan mengesahkan mereka menghidap kurang upaya intelektual.

“Tengok macam normal, tapi mereka kanak-kanak istimewa. Umur sekarang 12 tahun tapi perwatakan macam kanak-kanak usia tujuh tahun,” katanya yang berasal dari Jitra, Kedah.

Menurut ibu kepada enam cahaya mata itu, pada mulanya dia berat hati untuk berdepan dengan situasi sukar itu.

“Mulut je kata reda tapi hati tu rasa berat, tapi lama-kelamaan saya mulai terima. Saya bersyukur sangat kerana dapat sokongan dan semangat daripada orang sekeliling.

“Saya rasa bersyukur kerana setiap kali fikir tentang kesusahan ini, sebenarnya ada lagi yang lebih susah daripada saya. Malah ada yang dah kahwin lebih 10 tahun masih belum dikurniakan zuriat,” katanya sambil menambah dua lagi anaknya berusia enam dan dua tahun.

Mengenai empat anak kembarnya yang menyertai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), suri rumah berusia 41 tahun itu akui anak-anaknya menceriakan mereka sekeluarga.

“Dulu masa tak ada anak, sangat sunyi. Sekarang ni rumah tak pernah sunyi. Anak-anak kembar saya mempunyai bakat dalam mewarna, boleh mewarna dari pagi sampai malam.

“Harapan saya dan suami agar anak-anak dapat menguruskan diri mereka apabila kami sudah tiada lagi.

“Saya belajar hidup ini kena sentiasa positif dan reda apa yang ditakdirkan untuk kita. Pada masa sama, saya juga memberi sokongan kepada mereka yang belum ada rezeki anak.

“Saya pesan jangan ambil hati dan layan perasaan kalau ada orang tanya pasal anak. Jangan sensitif, jadi macam saya dan suami sama-sama check dan Alhamdulillah kami normal cuma belum ada rezeki masa tu, apa yang penting suami isteri kena mainkan peranan,” katanya.