Rela Tak Kahwin, Wanita 45 Tahun Akui Mahu Jaga Ibu Terlantar & Adik OKU

Fitrah setiap insan, sudah pasti ingin mendirikan rumah tangga dan mempunyai pasangan jika sudah tiba masanya.

Namun ada juga diantara kita yang perlu melupakan hasrat tersebut atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan bahkan merupakan ketentuan dari Ilahi.
Iospital phone repair gombak
Seperti kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang wanita yang sudah mencecah usia 45 tahun yang dikenali sebagai Hazana Abd Hamid bertekad mahu menjaga ibu yang uzur serta adiknya yang menghidap cerebral palsy (CP).

Memetik laporan Berita Harian, dia sudah menjaga ibunya, Kamariah Daud yang berusia 88 tahun sejak 10 tahun lalu yang terlantar kerana kemalangan jalan raya dan adiknya, Siti Zulaiha Abd Hamid, 30.

Difahamkam kedua-dua mata mata ibunya sudah tidak dapat melihat dan kesihatan semakin melarat selepas diserang angin ahmar pada bulan lalu di bahagian badan belah kiri.

“Bagi meneruskan kehidupan, mek (panggilan untuk ibu) kini bergantung sepenuhnya kepada saya dan adik beradik lain kerana tidak mampu bergerak dan bercakap selain perlu disuapkan makan, minum dan dimandikan.”

“Selagi mek masih bernafas adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjaganya sehingga ke akhir hayat,” katanya.

Menurut Hazana, dia ikhlas menjaga adiknya menghidap CP sejak usia lima bulan.
“Saya secara sukarela mengambil tanggungjawab menjaga Siti Zulaiha kerana tidak ada sesiapa yang boleh menjaganya.

“Saya perlu mencari pekerjaan yang berdekatan dengan rumah dan hanya bekerja sehingga jam 12 tengah hari kerana perlu pulang ke rumah untuk menguruskan adik serta ibu.”

“Pendapatan RM30 sehari hanya cukup untuk perbelanjaan harian kami sekeluarga, namun mujurlah adik memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan dan pada masa sama, ibu juga mendapat bantuan dari Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) RM400 sebulan,” jelasnya lagi.

“Saya perlu memberi ibu minum susu empat kali sehari melalui saluran tiub yang dipasang di hidungnya.”

“Bantuan bulanan yang diperoleh hanya cukup untuk membeli barang keperluan mereka, namun saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya dapat meringankan beban ditanggung,” katanya.

Bagi yang mahu menghulurkan sumbangan buat Hazana, boleh menghubunginya melalui talian 019-6997244.

Semoga bantuan dan sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga ini.