Nenek 16 Cucu Masih Kuat Angkat Tong Gas Sendiri, Gigih Bekerja Cari Rezeki Demi Bantu Keluarga

Gigih bekerja walau di saat umur sudah menginjak tua, bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Iospital phone repair gombak

Begitulah kisah yang dikongsikan oleh seorang nenek berusia 57 tahun ini yang masih mempunyai kudrat bekerja sehinggakan masih mampu mengangkat dan menghantar tong gas berisi petroleum cecair (LPG) dari rumah ke rumah hanya dengan menaiki motosikal.

Memetik laporan Sinar Harian, Saparisah Abdul Rahman menyatakan bahawa tiada istilah rehat atau penat dalam hidupnya bahkan dia ingin membuktikan bahawa wanita juga mampu melakukan pekerjaan berat itu yang kebiasaannya dilakukan oleh lelaki sahaja.

“Saya terdetik untuk memulakan perniagaan ini selepas melihat adik saya mengusahakannya. Kerja saya bukan sekadar menjual malah mengangkat, menghantar dan memasang tong gas di rumah pelanggan.

“Semasa mula berniaga pada 2004, memang rasa tidak yakin untuk angkat tong gas seberat 12 dan 14 kilogram, tapi lama-kelamaan jadi terbiasa walaupun sakit pinggang semua ada,” kata Saparisah yang merupakan seorang nenek kepada 16 orang cucunya.

Dia yang lebih mesra dikenali sebagai Kak Zah turut menceritakan bahawa kebiasaannya dia membawa tiga tong gas pada satu-satu masa dengan menggunakan motosikalnya di sekitar Taman Meru hingga Silibin dari kediamannya sendiri.

Bagi Kak Zah walaupun pekerjaan itu berat dan kebiasaannya dilakukan oleh para lelaki, akan tetapi dia lebih memilih untuk memekakkan telinga dan terus bekerja membantu keluarga.

“Sebelum ini, saya pernah kerja sebagai pembuat pasu di kilang di Jalan Kuala Kangsar, tetapi selepas kilang tersebut tutup saya rasa bosan dan ingin mencari rezeki bagi membantu suami,” jelasnya.

Kak Zah menerangkan bahawa dia memilih untuk berniaga tong gas kerana dapat menikmati gaji secara harian.

“Sehari saya dapat jual 30 hingga 40 tong gas, paling banyak 50 tong. Saya seronok kerana dapat duit tunai setiap hari untuk dijadikan modal pusingan. Jika kerja kilang, perlu tunggu sebulan baru dapat duit,” terangnya lagi.

Apabila diminta untuk menceritakan cabaran sewaktu dia berniaga, Kak Zah meluahkan kesedihannya apabila pernah suatu ketika stor penyimpanannya kerap dipecah masuk dan banyak tong gas dicuri.

“Satu tong gas RM128, mungkin bagi orang lain nilai itu tidak seberapa tapi bagi peniaga kecil seperti saya ia mahal dan terpaksa tanggung kerugian,” tambah Kak Zah yang kini turut dibantu Amanah Ikhtiar Malaysia bagi membangunkan perniagaannya.