“Ingin memudahkan orang Islam” Pemilik Kedai Cina Sediakan Surau Sentuh Hati Netizen

Tidak kiralah apa pun agama kita, sudah pasti setiap agama mengajar kita tentang perkara-perkara yang baik bahkan mendidik agar menghormati agama yang lain.

Persis kisah yang tular kali ini dimana pasangan suami isteri berbangsa cina yang memiliki kedai menjual permainan dan barangan bayi menjadi tumpuan ramai kerana menyediakan surau lelaki dan wanita lengkap dengan tempat mengambil wuduk bagi memudahkan pelanggan dan orang ramai yang berkunjung ke pusat beli-belah itu mengerjakan solat.

Memetik laporan mStar, pemilik kedai tersebut, Lee Chee Win dan Yong Siew Ching berkata, surau itu dibina sejak 13 tahun lalu yang pada awalnya untuk memudahkan pekerjanya menunaikan solat tanpa perlu keluar ke surau atau masjid yang jaraknya lebih jauh.


Lee, 63, berkata, sejak itu juga surau tersebut mula menjadi tumpuan pelanggan dan pekerja pusat beli-belah itu yang ingin tumpang solat sebelum dia dan isterinya mengambil keputusan membukanya kepada orang ramai.

“Niat asal kerana ingin memudahkan pekerja saya solat tetapi tidak sangka pula surau itu mendapat perhatian bukan sahaja pekerja di pusat beli-belah ini tetapi pengunjung pusat beli-belah yang datang.

“Sudah tentu saya gembira surau yang kami buat itu boleh dimanfaatkan oleh lebih ramai orang dan bersyukur dapat bantu orang Islam solat apabila masuk waktu,” katanya yang menjalankan perniagaan di situ sejak tahun 2000.

Difahamkan, sebelum ini surau tersebut dijadikan tempat mempamerkan barang jualan namun telah diubah menjadi surau yang boleh memuatkan dua ke tiga orang pada satu-satu masa bahkan turut mempunyai tempat mengambil wuduk.

Tidak cukup dengan itu, dia juga meletakkan tirai mandi di bahagian tempat mengambil wuduk bagi menjaga aurat kaum wanita yang beragama islam.

“Tiga tahun lalu saya buat pengubahsuaian pada lantai yang sebelum ini menggunakan karpet kepada jubin kerana lebih mudah dijaga dan diselenggara.”

“Saya juga sediakan kelengkapan solat seperti sejadah, kain pelikat dan telekung bagi memudahkan pengunjung,” ujarnya.

Walaupun negara kita diuji dengan kewujudan C-19, namun surau itu tetap dibuka dengan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak.

Orang ramai yang menggunakan surau itu juga patuh dengan SOP, malah akan beratur menunggu giliran selain membawa kelengkapan solat sendiri.

Berkongsi lanjut, mereka berdua mengakui tidak pernah merasa terganggu apabila ada orang yang datang untuk menggunakan surau tersebut.

“Saya tidak pernah menganggap kedatangan mereka untuk solat sebagai mengganggu perniagaan kami. Jika ya, sejak awal kami tidak buka surau itu untuk kegunaan awam.

“Apa kami lakukan ini adalah berasaskan rasa hormat dan ingin memudahkan orang beragama Islam menunaikan solat,” ujarnya

Dalam masa yang sama, mereka turut mengakui bahawa dia sebenarnya sangat mengambil berat tentang agama islam kerana dia mempunyai seorang anak angkat berbangsa Melayu dikenali sebagai Nik Aliza Abdullah yang kini berusia 37 tahun.

“Nik Aliza pernah bekerja dengan saya ketika dia mula-mula datang ke Kuala Lumpur. Orangnya sangat baik dan saya berasa kasihan apabila melihatnya hidup sebatang kara di bandar besar ini.”

“Sejak itu saya mengambilnya sebagai anak angkat dan menjaganya sehingga dia kini sudah pun berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata,” katanya yang mempunyai tiga anak kandung.”

Dikatakan, kehadiran anak angkatnya itu banyak mengubah hdupnya dan mengajar tentang agama islam dengan lebih mendalam malah apabila menjelang bulan Ramadhan, mereka sekeluarga akan berpuasa seperti mana yang orang islam lakukan.

“Saya sayang mereka macam cucu sendiri malah mereka cukup rapat dengan kami sekeluarga… Ketiga-tiga mereka juga fasih berbahasa Mandarin dan Hakka.”

“Tahun Baru Cina pun kami berkumpul bersama dan mereka cukup teruja dapat berjumpa dengan tiga lagi sepupu mereka yang lain.”

“Saya tidak pernah melihat perbezaan agama atau kaum sebagai masalah sebaliknya kasih sayang dan hormat menghormati sesama manusia itu jauh lebih penting,” katanya.