Ibu Hindu, Ayah Buddha, Wanita Peluk Islam Bahagia Duduk Sebumbung Bersama Keluarga

Mempunyai sebuah keluarga harmoni adalah impian setiap insan yang berada di muka bumi ini tidak kira agama bangsa malah negara.

Sama juga dengan kisah unik yang tular baru-baru ini dimana tiga beranak ini hidup bahagia biarpun masing-masing menganuti tiga agama yang berbeza iaitu Islam, Hindu dan Buddha sejak tiga tahun lalu mencuri perhatian ramai.

Manakan tidak, kita sering dengar bahawa keluarga akan berpecah belah jika ahli keluarganya menukar agama namun tidak buat keluarga ini dimana mereka sangat menitik beratkan akan kebahagiaan keluaganya.

Begitulah uniknya kehidupan Nur Aisyah Foo Abdullah, 25 yang telah memeluk Islam tiga tahun lalu dan direstui kedua ibu bapanya, Pathma Devi a/p Rajarathinam, 53 dan Foo Ah Sin, 63 masing-masing beragama Hindu dan Buddha.

Memetik laporan Malaysia Gazzete, wanita ini amat gembira kerana kedua-dua orang tuanya tidak pernah menghalang minatnya terhadap Islam yang berputik sejak kecil sehinggalah menyuarakan hasratnya memeluk Islam ketika berusia 15 tahun.

“Sebenarnya, pengaruh Islam itu bermula sejak kecil lagi kerana saya banyak bergaul dengan kawan-kawan Melayu sehinggalah memasuki alam persekolahan ketika berusia 15 tahun saya menyuarakan niat kepada ibu dan ayah untuk memeluk Islam.”

“Bagaimanapun, ketika itu mereka menolaknya dengan baik dan memberi alasan perlu menunggu masa yang sesuai termasuk mencari orang tua yang dapat membimbing saya secara serius dalam Islam,” katanya

Nur Aisyah yang merupakan anak tunggal berkata, dalam tempoh itu secara perlahan-lahan dia mempelajari cara hidup Islam termasuk berpuasa di bulan Ramadan selain turut bertudung ketika keluar rumah.

Perjalanan hidupnya dalam mengenali agama islam seolah-olah dipermudahkan apabila dia mengenali seorang lelaki yang kini sudah pun menjadi suaminya di tempat kilangnya bekerja empat tahun lalu.

“Selepas beberapa bulan berkawan rapat, saya minta untuk mengenali keluarganya dan dari situlah ibu suami, Muhammad Shameer Hafizi Mekche, 21, banyak mengajar saya mendalami Islam selama hampir setahun.”

“Tidak lama selepas itu, baharulah ayah dan ibu gembira dan menunaikan hasrat saya sejak remaja untuk memeluk Islam yang mana saya melafazkan kalimah syahadah di Pejabat Agama Daerah Alor Gajah pada 18 April 2019.”

“Setahun kemudian, selepas yakin ‘cinta’ saya pada Islam mengatasi segala-galanya, baharulah saya dan suami bernikah pada 28 April 2020 yang dibuat secara ringkas kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 ketika itu,” katanya.

Walaupun sudah memeluk agama islam, namun wanita ini bersyukur kerana kedua ibu bapanya tidak pernah menjadikan itu sebagai halangan, malah memintanya dan suami untuk tinggal bersama mereka.

“Kini walaupun tinggal serumah, kami bersembahyang mengikut kepercayaan agama masing-masing dan bagi saya rumah teres dua tingkat inilah ‘rumahku syurgaku’ yang sebenar.”

“Setiap hari, saya tidak putus-putus berdoa agar suatu hari nanti Allah juga membuka pintu hati ibu dan ayah untuk menerima Islam, namun jika tidak sekalipun saya redha kerana pahala mereka merestui penghijrahan saya,” katanya.