[VIDEO] Hampir Setahun Terpisah, Pertemuan Aliff Aziz Dengan Bella & Anak2 Buat Netizen Sebak

Setelah sembilan bulan terpisah dan tidak dapat bertemu anak serta isteri, selebriti kelahiran Singapura, Aliff Aziz akhirnya kembali bersua dengan keluarganya.

Malah hampir dua tahun dihimpit pelbagai isu dan tinggal bersama keluarga di Singapura, penyanyi Aliff Aziz akhirnya kembali ke pangkuan isteri, Bella Astillah dan anak-anak di Malaysia.

Khabar gembira itu telah dikongsi oleh ibunya Siti Hafiza di Instagram yang meluahkan rasa sedih dan berat hati untuk melepaskan anaknya, namun memahami tanggungjawab Aliff sebagai ketua keluarga.

“Hari di mana saya perlu mengucapkan selamat tinggal kepada anak saya… Alhamdulillah selepas hampir dua tahun akhirnya dia kembali ke Malaysia untuk bersama isteri dan anak-anak.

“Walaupun berat untuk mengucapkan selamat tinggal… kami faham tanggung jawab dia untuk bersama keluarga lebih penting, ” ujarnya.

Siti Hafiza turut mendoakan anaknya itu supaya menjadi seorang insan yang lebih baik untuk keluarganya.

“Kamu sentiasa ada dalam doa, jaga diri kamu dan keluarga. Pick yourself up and be the best version of yourself, ” ujarnya.

Dalam pada itu, Aliff turut mengucapkan terima kasih kepada ibunya dan berjanji untuk melakukan yang terbaik untuk kehidupan masa depannya.

“Terima kasih banyak umi dan ayah. Semoga usaha yang saya lakukan nanti akan membuahkan hasil dan membanggakan umi dan ayah, ” ujarnya.

Menerusi satu perkongsian video yang dimuat naik ke Instagram Aliff dan isterinya Bella Astillah, dapat dilihat anak pertama mereka Ayden Adrean berlari memeluk bapanya kerana terlalu rindu.

Aliff yang telah selesai menjalani kuarantin selepas tiba dari Singapura ke Kuala Lumpur juga turut meluangkan masa bertemu anak keduanya yang belum pernah ditatap secara langsung sejak dari lahir.

Sat-saat indah itu telah dihasilkan oleh videographer Budak Tadika dan mendapat lebih daripada 600,000 tontonan di Instagram Bella Astillah.

Rata-rata netizen yang menonton video pertemuan itu telah meninggalkan komen dengan memaklumkan berasa sebak melihat situasi tersebut.

Aliff dan Bella telah mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Muhammad Ayden Adrian yang kini berusia tiga tahun.

Pasangan ini kemudian membuat keputusan untuk bercerai pada 16 Mei tahun lalu selepas Aliff beberapa kali kantoi bersama wanita lain.

Oleh itu, Aliff telah kembali ke Singapura dan meneruskan kehidupannya bersama keluarganya di sana.

Namun begitu pada 26 April lalu, Bella mendedahkan dia dan Aliff sebenarnya sudah kembali rujuk sebagai suami isteri ketika mereka masih dalam edah dan dirinya sedang hamil anak kedua ketika itu.

Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah selamat melahirkan cahaya mata perempuan diberi nama Ara Aderanna pada 18 Julai yang lepas.