Tinggal Puasa Sebulan Sebab Bersalin Dan Tidak Sempat Ganti? Lihat Penjelasan Mufti WP

Siapa yang bakal mendapat cahaya mata menjelang bulan ramadhan nanti, pastinya pelbagai soalan berlegar difikiran anda bagaimana mahu mengganti puasa selama sebulan.

Merindui ramadhan yang kunjung tiba sekali setahun membuatkan setiap dari kita begitu menanti kedatangan ramadhan penuh barakah itu.

Jika due date jatuh pada bulan ramadhan, mereka tidak dapat menunaikan puasa dan ibadah solat dan sebagainya dalam jangka masa yang lama.

Namun bagi mereka yang terlepas menunaikan ibadah dibulan puasa perlukah mereka membayar fidyah jika masah belum berjaya mengganti puasa pada ramadhan berikutnya.

Turut merasai kebimbingan yang sama adalah ibu-ibu yang menyusukan bayi mereka yang masih dalam tempoh 2 tahun pertama kelahiran bayi itu.

Seringkali mereka tampak keletihan menguruskan dan menyusukan bayi ketika bulan ramadhan. Golongan ini turut terkesan kerana mereka akan berasa lapar dan dahaga dengan cepat ketika menyusukan.

Wanita juga tampak keletihan dalam mengurus dan menyusukan bayi, sudah pasti ada diantara wanita yang berasa terbeban serta tidak mampu menggantikan bilangan hari puasa yang hampir sebulan lamanya.

Jadi, mari kita lihat bagaimana, samada perlukah fidyah jika ia tidka dapat diganti sehingga ramadhan seterusnya.

Mari kita ikuti penerangan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai permasalahan ini.

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-83 :
TINGGAL PUASA KERANA BERPANTANG, LANGKAH TAHUN KERANA MENYUSU

SOALAN:
Assalamualaikum ustaz. Saya ingin menanyakan satu soalan. Bulan puasa tahun lepas saya dalam pantang bersalin. Jadinya sebulan puasa saya tidak berpuasa. Sekarang pun masih menyusukan anak. Usia anak 11 bulan. Saya ingin bertanya, perlukah saya:

1) Qada’ puasa sahaja atau

2) Qada’ puasa dan bayar fidyah atau

3) Tidak perlu puasa tetapi bayar fidyah sahaja

 Saya masih menyusukan anak ketika ini.Yang mana satu yang perlu saya ikut nya sebab banyak sangat mazhab yang saya dengar. Saya tidak tahu mana yang patut ikut.

Terima kasih ustaz.

JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Pertama sekali kita perlu jelas tentang maksud ‘pantang’ secara adat dan syariat. Dalam adat Melayu pantang selepas bersalin memiliki beberapa tempoh yang masyhur antaranya 44 hari dan 100 hari.

Manakala menurut syariat, berpantang ini boleh dikaitkan dengan hukum keluarnya darah nifas.

Hukum nifas, adalah seperti hukum haid pada perkara-perkara yang haram dilakukan yakni solat, puasa, membaca mushab al-Quran, menyentuh dan membawanya, menetap di dalam masjid, bertawaf dan berjima’, bermesraan suami dan isteri di antara pusat dan lutut.

Tempoh kebiasaan nifas adalah 40 hari, manakala maksimumnya pula adalah 60 hari.

Menurut Imam al-Syarbini al-Khatib (w.977H) di dalam al-Iqna’ (ms.143-144), orang perempuan yang bernifas haram menunaikan ibadah puasa Ramadhan. Jika dia berpuasa juga maka puasanya tidak sah dan wajib diqadha.

Ini berbeza dengan solat fardu yang tidak perlu diganti.

Perkara ini berdasarkan hadis Muslim riwayat Aisyah R.Anha bahawa kaum wanita diperintahkan untuk mengqadhakan puasa Ramadhan yang ditinggal akibat haid – dan juga nifas – tetapi tidak bagi solat fardu.

Pada asalnya hukum wanita yang menangguh qadha puasanya sehingga masuk ke Ramadhan tahun seterusnya adalah haram dan wajib ke atasnya untuk qadha puasa dan membayar satu mud (secupak makanan ruji seperti beras dalam zakat fitrah) bagi setiap puasa yang ditinggalkan dan tidak sempat diganti sebelum tiba Ramadhan bagi tahun yang baru.

Namun begitu pengecualian diberikan jika penangguhan itu bersebabkan uzur syarie. Rujuk al-Iqna` (ms. 352).

Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili di dalam al-Muʿtamad (2/200) :

Jika seseorang wanita itu melewatkan qadha’ puasanya kerana uzur seperti berterusan sakit, menyusukan anak, hamil dan musafir, sehingga masuk ke Ramadhan yang baru, maka tidak wajib fidyah kerana kelewatan ini dan wajib qadha’ sahaja.”

Justeru, dalam kes puan yang bertanya:

Puan hendaklah menggantikan puasa yang ditinggalkan semasa nifas dahulu.

Jika puan melewatkan puasa sehingga masuk ke Ramadhan yang baharu, maka hendaklah puan ganti puasa, dan membayar fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.

Jika puan meninggalkan ganti puasa atas sebab keuzuran seperti masih menyusu anak, lalu masuk ke Ramadhan yang baharu, maka puan tidak perlu membayar fidyah tetapi tetap perlu menggantikan puasa.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada para pembaca dan semoga semua jelas tanpa segala kemuskilan telah terjawab. Selamat mencuba!