“Saya telan darah tanpa menjatuhkan setitik pun ke laut kerana…” Lelaki Hanyut 30 Jam di Tengah Laut, Sempat Berpaut Pada Tong Minyak Sebelum Patah Beberapa Batang Gigi Dihentak Bot

Pekerjaan sebagai nelayan memang tinggi risikonya kerana berada di tengah-tengah laut demi mencari hasil tangkapan.

Iospital phone repair gombak

Lebih merisaukan, kerjaya ini sering didominasi oleh golongan yang berumur, tambahan pula dengan cuaca yang tak menentu.

Baru-baru, tular satu kisah di mana seorang lelaki hanyut di tengah laut selama lebih 30 jam, hanya berpaut pada sebuah tong minyak berwarna putih.

Kisahnya bermula apabila bot yang dinaikinya untuk memancing karam setelah dipukul ombak di perairan Karambunai di Kota Kinabalu, Sabah, pada 25 Januari lalu.

Selepas dua hari dan satu malam, dia berjaya ditemukan dan diselamatkan oleh kru Kapal KD Sundang, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan Sepanggar.

Lelaki berkenaan, Meris Dulin, 64, berkata, pada hari kejadian dia keluar untuk memancing bersama anak sulung dan anak saudaranya.

“Kami keluar selepas subuh, pada mulanya ombak tidak begitu besar. Tiba-tiba langit bertukar mendung, jadi gelap. Saya beritahu mereka untuk pulang, patah balik.

“Tiba-tiba keadaan gelombang besar, masuk dalam air dan kami terbalik. Mereka sempat pakai jaket keselamatan dan saya minta mereka untuk berenang selamatkan diri,” ujarnya.

Dalam keadaan laut bergelora, hujan dan ribut sepanjang malam, lelaki itu hanya mampu berserah kepada Allah SWT.

“Ketika itu, saya tak tahu hala tuju… hidup atau mati, saya fikir jika ajal datang di laut, apa boleh buat, saya terima takdir Allah.

“Pada tong yang sempat dibuangkan minyak itu saya berpaut. Ketika itu juga, beberapa batang gigi patah sampai berdarah dihentak bot ketika laut bergelora.

“Tidak mahu mengundang bahaya yang mungkin menarik perhatian ikan-ikan besar,” ujarnya yang berasal dari Tuaran, Sabah.

Menurut Meris yang lemah ketika itu, tangannya masih kuat berpaut pada tong namun kaki mulai rasa kebas dan kejang.

“Sepanjang malam saya tak tidur. Kalau tertidur pasti akan tenggelam. Daya dan kekuatan kaki untuk mengapungkan badan mulai hilang,” katanya yang sebelum ini merupakan nelayan dan menjadikannya sebagai sumber rezeki keluarga selama kira-kira 40 tahun.

Bapa kepada empat anak itu juga tidak menyangka berdepan dengan kejadian luar biasa apabila mendengar laungan azan di tengah lautan.

“Saya yakin dapat mendengar laungan azan itu berulang kali dengan begitu jelas. Saya dengar ‘Allahuakbar, Allahuakbar’ berulang kali.

“Saya fikir betapa besar kuasanya Allah. Saya yakin berada jauh dari tepi pantai, dengan bunyi ombak dan angin, masih dapat mendengar laungan azan secara jelas.

“Subhanallah, saya tidak mimpi malam itu. Saya sedar dan dapat mendengarnya… patutlah apabila ada orang hilang kita berusaha juga dengan melaungkan azan,” ujarnya lagi.

Meris mendedahkan sebelum laungan azan, dia berdepan dengan kehadiran makhluk yang sangat besar mengelilingnya.

Namun kerana mata mulai pedih ketika itu, dia tidak dapat melihatnya dengan jelas tetapi yakin makhluk tersebut adalah seekor ikan besar.

“Saiznya mungkin hampir sebesar sebuah bas. Saya sambut dengan doa dan berzikir. Saya tidak takut, hanya fikir jika makhluk itu adalah ‘kiriman’ Allah untuk menjaga saya.

“Walaupun tidak berapa jelas, saya juga dapat melihat satu cahaya dari langit yang melintas di kepala saya, dan cahaya itu seakan ‘berpecah’ dan masuk ke laut dengan pantas,” ujar Meris.

Meris berkata, perasaannya bercampur baur saat diselamatkan oleh kru kapal KD Sundang, malah berasa sebak.

“Rasa bersyukur dan gembira. Pada masa sama, sedih kerana meninggalkan laut mengenangkan kejadian luar biasa yang saya lalui. Tengok laut, saya menangis tak berhenti.

“Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Setiap kali diimbas kembali, saya menangis… bersyukur kepada Allah kerana masih beri peluang untuk saya terus hidup,” ujarnya.

Meris kini pulih sepenuhnya dan kembali menjalani kehidupan bersama keluarga di Tuaran selepas dimasukkan ke hospital selama empat hari.

“Nasihat saya, jika cuaca tidak baik dan keadaan tidak menentu, harus berjaga-jaga untuk ke laut. Jangan lupa Allah SWT kerana Dia yang beri perlindungan,” ujarnya.

Terdahulu, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dilaporkan berkata, mangsa, Meris Dulin, 64, berjaya ditemukan pada pukul 1.30 petang pada 26 Januari lalu, di kedudukan 5.5 batu nautika barat Tanjung Gaya setelah pencarian memasuki hari kedua.

Menurut beliau, dua lagi mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai berdekatan.

“Mangsa seterusnya diselamatkan oleh KD Sundang dan dibawa ke Jeti Pangkalan TLDM Sepanggar untuk rawatan lanjut di Hospital Angkatan Tentera TLDM Sepanggar,” ujarnya.