Kru Kabin AirAsia Papah Suami Isteri Buta Turun Pesawat Raih Pujian, Netizen Ketepikan Isu ‘Delay’

Lumrah kehidupan, kita haruslah berbuat baik terhadap semua orang apatah lagi kepada Orang Kelain Upaya (OKU) kerana terkadang bukan hanya mereka yang diuji namun kehadiran insan istimewa seperti mereka juga menguji kita sama ada mampu atau tidak untuk berbuat baik.

Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana dua kru kabin AirAsia sedang membantu suami-isteri OKU mencuri perhatian ramai.

Dapat kita lihat, kru tersebut membantu pasangan cacat penglihatan yang membawa seorang bayi perempuan setibanya mereka dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur menaiki penerbangan AK6229 pada 6 Mei lalu.

Memetik laporan mStar, Mohamad Fazren Bahudin, 29, yang sudah dua tahun berkhidmat dengan syarikat penerbangan itu mengakui tidak sedar aksinya dirakam.

“Pasangan OKU itu menaiki pesawat bersama anak perempuan mereka. Sejujurnya saya rasa sayu tengok mereka sebelum pesawat berlepas lagi.”

“Kami memang dah sedar akan kehadiran mereka sejak awal. Tambahan pula kena bagi special seat belt untuk anak mereka yang berusia bawah dua tahun.”

“Ketika mendarat di Kuala Lumpur, kami tolong mereka untuk keluar dari pesawat pula. Sejujurnya saya tak perasan ada orang rakam video. Tiba-tiba ada kawan maklumkan ia dah viral.”

“Rupa-rupanya ada senior yang kongsi ke TikTok. Saya agak terkejut, tapi tak pelik sebab zaman sekarang zaman viral,” ujarnya.

Senang disapa Fazreen, dia terharu apabila video itu mendapat perhatian Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes yang meninggalkan komen “proud of my Allstars” pada posting tular tersebut.

“Kita kena sentiasa bantu orang yang memerlukan. Kalau nampak mereka struggle nak buat sesuatu, tak salah pun kalau kita bantu untuk mudahkan urusan mereka. Contohnya kalau nampak ada OKU nak melintas jalan.”

“Saya rasa gembira bila bos hargai kerja kami. Rasa terharu, memang tak sangka ia viral sampai macam tu sekali.”

“Saya juga berharap kita semua sentiasa bantu golongan OKU. Kalau nampak mereka struggle nak buat sesuatu, tak salah pun kalau kita bantu untuk mudahkan urusan mereka,” ujarnya lagi.

Seorang lagi kru kabin dalam video tular itu, Aida Rahayu Muhd Afandi, 34, turut senada dengan Fazren dan gembira apabila kisah kebaikan berkenaan dapat memberi impak positif kepada masyarakat.

“Apabila dapat pujian bos, sudah tentu saya rasa gembira. Tapi sejujurnya, kami memang ikhlas membantu mereka. Itu memang tugas kami, kami sudah dilatih untuk membantu penumpang termasuklah OKU.”

“Pada masa sama, saya juga rasa terharu dapat buat orang rasa bangga dengan Air Asia,” ujarnya yang sudah lima tahun berkhidmat dengan syarikat penerbangan tersebut.

“Biasanya kita memang dahulukan penumpang istimewa untuk naik pesawat terlebih dahulu, Jadi sejak awal kita dah tahu kehadiran mereka. Melihatkan pasangan itu, saya beranggapan mereka baru pertama kali travel.”

“Jadi kami bantu mereka macam biasa. Tolong angkat beg dan iringi keluar pesawat. Tiba-tiba dapat tahu video dah viral. Saya sendiri pun tak ada TikTok.”

“Tapi keluarga ada screnshoot komen-komen, saya rasa terharu baca komen semua orang. Apabila orang puji, sudah tentu rasa gembira. Tapi kami buat secara ikhlas tak minta apa-apa, itu memang tugas kami,” ujarnya lagi.

Video yang tular di laman TikTok:

@jeffjaibi Service from the heart 🙏❤ #oku #airasiacabincrew #itsinourblood ♬ suara asli – Debora Hehanussa – Bora&Angel

Harap video ini dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat agar tidak putus untuk menghulurkan tangan pada mereka yang dalam kesusahan dan berbuat baik pada semua orang termasuklah golongan insan istimewa seperti ini.