Dah Kahwin & Ada 2 Anak, Wanita Terkedu Baru Tahu Ibu Bapa Tak Pernah Bernikah

Soal agama memang tidak boleh dibuat main. Risau-risau akan terpesong akidah kita nanti.

Tidak kisahlah sekiranya seseorang itu ulama, masyarakat Islam mahupun individu Muslim gagal mempertahan dan menegakkan akidah dalam diri dan kehidupan, maka akan runtuhlah agama, rosaklah masyarakat, rebahlah bangsa serta sesatlah manusia.

Seperti yang terjadi kepada seorang wanita ini, memilih untuk menyembunyikan identitinya, telah mendirikan rumah tangga dan diwalikan oleh bapanya.

Dia juga dikurniakan dengan dua orang cahaya mata bersama dengan pasangan pilihan hatinya itu.

Pasangan itu bahagia melayari bahtera perkahwinan pada awalnya namun bertukar tragedi apabila menerima khabar yang memeranjatkan dia dan suaminya itu.

Betapa terperanjatnya si anak apabila kenyataan dikeluarkan dari mulut ibunya sendiri yang menyatakan ibu dan bapanya tidak pernah bernikah secara sah.

Malah, bapanya sedaya upaya memalsukan sijil pernikahan mereka berdua dan berlakon seperti sudah berkahwin.

Tambah ibunya lagi, pernikahan mereka telah dibuat secara ‘kampung’ atau erti kata lain perkahwinan yang tidak didaftarkan.

“Ibu dan ayah ada pertelingkahan hingga duduk berasingan. Pertelingkahan mereka terdedah satu isu yang dia dan dua adik beradiknya yang lain tidak ketahui.”

“Yang lebih teruk, apabila ayahnya menjadi wali kepada perkahwinannya. Ye lah kan, kalau dah tertera binti itu kepada ‘ayahnya’, pastilah dirasakan dialah walinya.”

Mahligai yang dibina oleh si anak dan pasangannya tadi ranap sekelip mata kerana ibu bapa wanita itu tidak jujur serta memberitahu perkara sebenar kepada suami wanita itu .

Yang lebih membuatkan si suami marah apabila mereka sudah pun mempunyai dua orang anak!

“Itu belum kira dengan kakaknya yang terlebih dahulu kahwin sebelumnya.”

Insiden yang terjadi dengan terlalu cepat itu membuat si wanita celaru sama ada penceraian adalah jalan terbaik buat dia dan pasangan.

Oleh itu, seorang Peguam Syarie menerusi akaun Facebook Fahmi Ramli telah tampil memberi penjelasan dan jalan penyelesaian buat isu yang dihadapi oleh pasangan tersebut.

“Bagi wanita tersebut, disebabkan perkahwinan ibu dan ayahnya yang dijalankan secara ‘Nikah Kampung’ tersebut tidak didaftarkan, dia boleh dianggap sebagai anak tak sah taraf.

Sepatutnya, si ayah atau ibunya perlu membuat pengesahan nikah di Mahkamah Syariah untuk menentu sahkan sama ada perkahwinannya sah atau tidak mengikut hukum syarak.

“Sekiranya pernikahan kampung atau kita sebut sebagai Nikah Sindiket ini sah ikut syarak, maka dia boleh dianggap sebagai anak sah taraf. Itupun kalau berlaku nikah dan disahkan oleh Mahkamah.

“Namun, jika tidak, wanita itu serta adik beradik yang lain, dikira sebagai anak tak sah taraf.”

Katanya lagi, wanita itu dikehendaki untuk membuat permohonan Faraq Nikah di Mahkamah Syariah disebabkan dia adalah anak tidak sah taraf manakala suaminya pula tidak boleh menceraikan secara baik ataupun wanita itu sendiri memfailkan Fasakh.

Pun begitu, pasangan itu boleh bernikah semula dengan akad yang baru serta mas kahwin yang baru jika sudah membuat permohonan Faraq Nikah atau membatalkan pernikahan mereka.

Ujar Fahmi Ramli, anak-anak kepada pasangan berkenaan tidak salah kerana mereka juga mangsa keadaan sama seperti wanita tersebut dan pasangannya.

Justeru itu, anak-anak mereka dikategorikan sebagai anak yang lahir atas persetubuhan yang meragukan atau dari segi agama, Anak Wati’ Syubhah.