Berkat Jaga Abang OKU, Remaja 19 Tahun Dapat Dekan Setiap Semester

Tatkala kita ditimpa masalah, ahli keluargalah yang akan menjadi orang pertama untuk kita cari. Keluarga jugalah yang sentiasa berada di sisi kita dan sudi untuk membantu.

Tidak kisahlah jauh ataupun dekat, dah kalau namanya keluarga, apa sahaja sanggup kita lakukan untuk darah daging kita sendiri.

Begitulah yang terjadi di negeri Cik Siti Wan Kembang. Seorang bapa atau lebih mesra disapa Abang Lah, 66 tahun sudah reda dengan amanah yang diberikan oleh Allah kepadanya untuk menjaga anak istimewanya yang bernama Muhammad Khairul Anuar Abdullah.

Menerusi laporan Harian Metro, genap 20 tahun menjaga Khairul, Abang Lah sangat menitikberatkan tentang kesihatan dan kebersihan anaknya itu. Dengan dirinya yang semakin menginjak usia, dia cuma mahu melakukan yang terbaik untuk anaknya.

Setiap hari dia memandikan Khairul dua kali sehari untuk mengelakkan anaknya daripada berasa tidak selesa.

Abang Lah juga mengaku kadang-kala dia dan isterinya terfikir siapa yang akan mengambil tugas mereka untuk menjaga anak istimewa mereka itu jika mereka dijemput ke negeri abadi.

Namun pun begitu, mereka sekeluarga bersyukur kerana tak putus-putus orang ramai menghulurkan bantuan untuk memberikan keselesaan kepada anak istimewa mereka.

Khairul juga seorang anak istimewa yang mudah dijaga. Walaupun kadang-kala dia tiada selera untuk makan nasi namun apabila tiba masa untuk makan ubat, dia tidak pernah melawan mahupun menolak.

Dia seolah-olah faham akan kedaan dirinya yang perlu makan ubat untuk mengelakkan dirinya terkena sawan atau penyakit lain yang tidak diingini.

Abang Lah juga sering dibantu oleh anak ketujuhnya, Muhammad Hakimi Abdullah yang berumur 19 tahun. Hakimi juga seorang mahasiswa di Politeknik Kota Bharu, Kelantan.

Apabila ditemubual di rumahnya di Kampung Tok Pelanduk, Pasir Mas, Hakimi berkata dia tetap cekal dan positif membantu keluarganya walaupun harus menghadiri kelas online. Hakimi tidak pernah menganggap abangnya itu sebagai beban namun abangnya lah penyebab dirinya mendapat keputusan cemerlang setiap semester.

“Alhamdulillah, walaupun tidak dapat memberi sepenuh perhatian sewaktu belajar, saya masih mendapat keputusan cemerlang. Malah, saya sentiasa berfikiran positif selain tidak menganggap menguruskan abang adalah satu bebanan.”


Mahasiswa semester tiga ini juga berkata ibunya sangat memahami kedaannya yang masih belajar. Ibunya dikatakan tidak akan keluar menoreh jika Hakimi mempunyai kelas ataupun peperiksaan penting. Namun jika dia harus pulang ke kolej, adik bongsunya Nur Balqis lah yang diharapkan untuk menolong ibu bapanya menjaga abangnya itu.

Walaupun baru berusia 19 tahun, namun Hakimi matang dalam membahagikan masanya dengan keluarganya. Walaupun berasa penat, dia tidak pernah berputus asa.

Dia juga melarang ibu bapanya mengangkat abangnya kerana risau akan faktor umur mereka.

“Memandangkan ibu bapa sudah berumur, saya tidak membenarkan mereka mengangkat abang sebaliknya saya lakukan sendiri walaupun ada masanya mengalami sakit belakang dan lenguh badan,”