“Tolong doakan anak-anak kami” Hanya Mampu Lihat Lambaikan Ibu Bapa Dari Jauh

Penularan pandemik Covid-19 ketika ini berada di tahap membimbangkan. Angka jangkitan dan jumlah kematian terus meningkat dari hari demi hari.

Memetik laporan Sinar Harian, difahamkan Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) antara sekolah yang disahkan positif Covid-19.

Tolong doakan anak-anak kami

“Tolong doakan anak-anak kami”. Itu harapan dan permintaan ibu bapa di sini apabila seramai 60 pelajar termasuk kakitangan di situ disahkan positif Covid-19.

Menerusi tinjauan Sinar Harian di sekolah berkenaan hari ini mendapati, ibu bapa yang datang untuk menghantar barang kepada anak mereka hanya mampu melambaikan tangan dari jauh selepas meninggalkan barang di atas meja di luar pagar bangunan.

Anak saya beritahu dia hilang deria bau

Menurut seorang bapa pelajar Abdul Rauf Abdul Rahman, 44, berkata, dia pada mulanya terkejut apabila diberitahu terdapat kes di sekolah itu, namun memilih untuk bertenang namun isterinya tetap menangis.

“Terkejutlah, tapi kes ini satu dunia. Anak saya di Tingkatan Tiga dan tadi dia beritahu deria baunya mula hilang”.

Berdoa dan terus beri semangat kepada anak-anak

“Tapi ujian saringan pertama dilakukan adalah negatif, yang kedua pula keputusannya belum keluar lagi”.

“Apa yang dapat kita buat sekarang adalah berdoa dan terus beri semangat, minta anak-anak bersabar,” katanya yang tinggal di Rawang, Selangor.

Menurutnya, apa sahaja keputusannya semua kena reda dan menghadapinya bersama-sama.

Kali terakhir saya jumpa dia pada awal bulan lalu

Selain itu, seorang lagi bapa pelajar, Sofian Sharifbudin, 47, dari Ampang, Kuala Lumpur berkata, dia risau dengan keadaan anaknya, lebih-lebih lagi apabila keputusan saringan Covid-19 dilakukan anaknya pada Selasa lalu adalah positif.

“Kali terakhir saya jumpa dia pun pada awal bulan ini apabila dia pulang ke rumah. Sekarang ini dia kuarantin diri di asrama sekolah dan keadaannya baik-baik sahaja. Anak saya beritahu buat masa ini pelajar yang positif diasingkan,” katanya.

Menurutnya, dia sempat berbual dengan anaknya pagi tadi dan menasihatkannya supaya menjalani kuarantin seperti disyorkan oleh pihak hospital.


Ibu-bapa menunggu keputusan saringan anak-anak mereka

“Tolonglah doakan anak-anak kami semuanya selamat,” katanya. Ibu pelajar, Roziati Ismail, 47, pula berkata, sehingga kini dia masih takut untuk menunggu keputusan saringan anaknya yang berusia 17 tahun.

“Masa mula-mula saya memang tak boleh terima kerana terlalu risau. Tapi bila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dah datang ke sekolah buat saringan dan anak pun sihat, saya sedikit lega”.

Sepatutnya hujung bulan ini dia balik

“Sepatutnya hujung bulan ini dia balik, tapi dah jadi macam ini pula. Kita pun tak tahu macam mana sebenarnya kes ini boleh ada di sekolah”.

“Benda dah jadi, kita tawakal dan berdoalah,” katanya.

Semoga semua anak-anak ini diberikan kesembuhan dan kekuatan menghadapi ujian ini. Mari kita sama-sama mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan bekerjasama memutuskan rantaian Covid-19.