“Bertongkat itu sunnah para nabi.” Niat Nak Bertongkat di Usia 40 Tahun, Suhaimi Saad Beri Peringatan

Bekas anggota kumpulan nasyid InTeam, Suhaimi Saad yang kini mengalami sakit mata kronik sejak setahun lalu hingga membataskan penglihatan dan pergerakannya mangaku sudah menggunakan tongkat.

Menerusi perkongsian dibuat untuk pengikutnya di laman Instagram, Suhaimi memberitahu bertongkat juga adalah sunnah para nabi.

“Bertongkat itu sunnah para nabi. Bukan sebab buta atau cacat. Dah lama ss niat, bila masuk umur 40 tahun, ss akan bertongkat.

“Mudah-mudahan itu akan menjadi pengingat kepada ss, bahawa bila usia meningkat,
hidupmu semakin singkat.

“Hari kematianmu makin dekat. Tinggalkanlah segala dosa dan maksiat, perbanyakkanlah amal soleh dan taubat.

“Semoga hidupmu dilimpahi magfirah,rahmat dan berkat. Dikurniakan kematian yang husnul khatimat dan selamat dunia akhirat”

Suhaimi juga memberitahu dia berharap semoga kehidupan dilaluinya dirahmati dan dikurniakan kematian baik serta selamat dunia akhirat.

Terdahulu, menerusi siaran langsung di Instagramnya Suhaimi berkongsi keadaan diri yang mengalami sakit mata kronik sejak setahun lalu.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Suhaimi Saad (@mosusofficial) on

Menurut Suhaimi, dia tidak menolak kemungkinan penyakit mata dihidapinya itu akibat terkena gangguan sihir.

Ikhtiar rawatan fizikal

“Kalau berjumpa doktor, mereka akan membuat imbasan berdasarkan fakta saintifik. Apabila saya merujuk ustaz dan perawat, memang ada kemungkinan berkaitan dengan unsur-unsur itu. Allahualam.

“Saya percaya dengan ilmu sihir dan santau tapi saya juga berikhtiar secara rawatan fizikal dan rohani. Saya juga percaya pada ubat-ubatan,” katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya tentang kaedah rawatan tradisional yang dilakukan untuk menyembuhkan sakit matanya, Suhaimi enggan mengulas lanjut.

Cara tradisional rahsia

“Cara tradisional itu biarlah rahsia. Saya tiada komen sebab tahu ramai haters yang akan mengecam kalau salah jawab,” tambahnya.

Menceritakan lebih terperinci sakit mata yang dialaminya, kata Suhaimi penglihatannya menjadi kabur, kelabu dan silau hingga membataskan pergerakan hariannya.

Justeru, Suhaimi memerlukan bantuan dari isterinya, Ina Naim untuk melakukan tugas harian.

“Ada kata saya nak tagih simpati, tidak, itu semua bohong. Ya, memang betul mata saya masih nampak, saya masih boleh membaca cuma ia terhad.

“Mata saya tiada katarak dan tiada selaput. Mungkin masalah dalaman. Allah nak bataskan penglihatan supaya saya tidak berbuat dosa mata dan tengok benda-benda tak elok.

“Saya reda kalau disembuhkan atau tidak sebab saya sudah terbiasa dengan keadaan ini. Banyak hikmahnya apabila mata saya tak nampak. Saya tak mengata orang dan tak berfikiran negatif.

“Tapi saya nak berubat sebab saya fikirkan tanggungjawab. Apabila mata kabur, saya susahkan Ina untuk memandu ke sana ke sini buat kerja. Saya nak membaca sekarang pun terpaksa minta tolong anak-anak,” ujarnya.

Suhaimi telah mendirikan rumahtangga dengan isterinya Ina pada tahun 2007 dan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata.