Dijemput Ilahi Ketika Laungkan Azan Jumaat di Bulan Ramadhan, Pemergian Pemuda Ini Dicemburui

Kerap kali kita dengar berita pemergian orang yang baik-baik di bulan Ramadhan yang berkat ini.

Terbaru, satu perkongsian di Facebook menjadi tumpuan netizen apabila seorang pemuda telah dijemput Ilahi ketika sedang melaungkan azan kedua Solat Jumaat.

Baru pulang dari menziarahi jenazah Sdra Amirul Najmie Asrul Leonard. Siswa sem 5 Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan.

Budaknya sangat baik. Kerap juga datang ke bilik saya untuk bertanya perihal pengajiannya. Sering bertugas sebagai bilal pelatih di Masjid KUIPSAS.

Kebanyakan pensyarah dan ahli jemaah Masjid KUIPSAS mengenali beliau. Perginya dalam keadaan yang sangat mulia, dalam bulan Ramadan yang mulia, pada hari Jumaat yang mulia di tempat yang mulia iaitu Masjid Sungai Panching Selatan selepas tidak sedarkan diri ketika sedang mengalunkan azan kedua Solat Jumaat tadi.

Semoga dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.

Malah, rakan baiknya juga ada membuat perkongsian tentang pemergiannya di laman Facebook. Betapa ketiadaanya dirasai oleh semua teman baik.

Selamat pulang wahai teman. Rehatlah, sungguh kami cemburu dengan cara Allah mengambilmu.

Saya rasa tidak perlu saya perkenalkan siapa adinda Amirul ini pada saya. Ramai orang tahu yang dia kawan rapat saya.

Gambar kami yang beratus-ratus keping, selalu menjadi teman lepak saya, teman bercerita saya, kalau Ramadhan biasanya dia akan teman saya ke masjid-masjid tempat saya bertugas imam Tarawih.

Amirul yang saya kenali,

Dia seorang yang sangat meminati bacaan Al-Quran saya, sehinggakan bila saya mengaji dalam kereta pun, dia pasti akan rakam.

Dia seorang yang banyak membantu orang.

Dia seorang yang ceria. Mudah didekati.

Dia seorang yang sentiasa gigih dalam apa yang dia lakukan. Saya teringat dia selalu minta saya ajar cara mengeluarkan suara yang betul ketika azan. Sehingga dapat, dia usahakan.

Semalam hari yang saya rasa seolah mimpi.

Amirul, kau telah pergi selamanya. Bertemu Allah dalam keadaan kau sedang mengalunkan azan Jumaat. Jemaah melihat hal ini. Menjadi saksi mulianya kau menghadap Sang Pencipta.

Gelak tawa, susah senang dan memoriku bersama kau Mirul, tak kan sesekali dilupakan.

Aku yakin kau juga senang bersama aku. Allah pinjamkan 3 tahun untuk kita saling mengenali. Moga kita tergolong dalam apa yang dijanjikan Allah menerusi sebuah hadith,

إن الله يقول يوم القيامة : أين المتحابون بجلالي؟ اليوم أظلهم في ظلي يوم لا ظلَّ إلا ظلِّي.

Nabi saw berkata, sesungguhnya Allah akan berkata di hari akhirat kelak : Di mana mereka yang saling berkasih kerana keagunganKu? Hari ini Aku naungi mereka dengan naunganKu. Dan hari ini tidak ada naungan melainkan naunganKu sahaja.

Banyak lagi kalau saya hendak tulis tentang Amirul. Namun linangan air mata lebih pantas dari jari yang mencatit.

‘Izzan,
Temanmu Amirul.

Semoga Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang beriman dan seoga semua amalannya diterima. InsyaAllah.